Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Zii Jia tarik diri Terbuka Denmark akibat kecederaan buku lali

    KUALA LUMPUR, 15 OKT – Pemain perseorangan lelaki profesional Malaysia, Lee Zii Jia terpaksa menarik diri daripada kejohanan Terbuka Denmark yang bermula hari ini hingga Ahad di Odense, akibat kecederaan buku lali.

    Pihak pengurusan atlet berusia 26 tahun itu Team LZJ dalam kenyataan di media sosial memaklumkan Zii Jia mengalami kecederaan semasa perlawanan suku akhir Terbuka Artik minggu lepas, yang menyaksikan beliau tewas 15-21, 21-13, 12-21 kepada pemain Jepun, Koki Watanabe, selepas 66 minit bertarung.

    “Sejurus tiba di Odense pada Ahad, harapan dan perancangan (kami) masih untuk Zii Jia menyertai Terbuka Denmark meskipun dilanda kecederaan.

    “Zii Jia turun ke gelanggang pada Isnin, namun rasa tidak selesa pada sekitar buku lali menghalangnya daripada beraksi pada tahap kualiti perlawanan. Selepas pertimbangan lanjut, dengan hati yang berat, Zii Jia memutuskan untuk menarik diri daripada kejohanan tersebut,” menurut kenyataan itu.

    Pemain nombor empat dunia itu sepatutnya bertemu pemain Jepun, Kenta Nishimoto dalam pusingan pembukaan kejohanan Jelajah Dunia Super 750 tersebut di Arena Fyn hari ini.

    Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam kenyataan berasingan mengumumkan pemain Indonesia Anthony Sinisuka Ginting akan bertemu Nishimoto susulan penarikan diri Zii Jia, manakala pemain Denmark Mads Christophersen dinaikkan ke undian utama.

    Zii Jia menamatkan kejohanan tahun lepas sebagai naib juara setelah tewas kepada Weng Hong Yang dari China, 12-21, 6-21. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda