KUALA LUMPUR, 3 OGOS – Dua pemain perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong beraksi cemerlang apabila berjaya melangkah ke suku akhir kejohanan badminton Terbuka Australia 2023 hari ini.
Lebih menarik, kedua-dua pemain berkenaan akan membuat perhitungan sesama sendiri untuk menempah slot ke separuh akhir, sekali gus menjadikan pertarungan mereka dinantikan bagi menentukan siapa lebih layak digelar pemain perseorangan lelaki utama negara itu buat masa ini.
Terdahulu dalam saingan pusingan kedua hari ini, Zii Jia yang kini berada di ranking ke-17 dunia mengetepikan cabaran pemain India, Mithun Manjunath 21-13, 12-21, 21-19 pada aksi yang berlangsung di gelanggang Quaycentre di Australia.
Kemenangan itu menyaksikan Zii Jia akan bertemu Tze Yong yang terlebih dahulu mengejutkan pemain nombor lima dunia dari Indonesia, Jonatan Christie 22-20, 21-15 untuk mara ke suku akhir, esok.
Sebagai rekod, Zii Jia dan Tze Yong yang menduduki posisi ke-21 dunia, belum pernah berentap sesama sendiri pada mana-mana kejohanan antarabangsa sebelum ini. – Bernama