Jumaat, 21 November 2025
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Zikrullah dan Al-Quran kunci ketenangan, kebahagiaan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Tidak ada siapa pun yang menginginkan hidup penuh dengan kesusahan, kesengsaraan dan masalah yang berpanjangan, namun semua ini adalah ketentuan daripada Allah SWT, dialah yang menganugerahkan pelbagai nikmat termasuk nikmat ketenangan dan kedamaian jiwa.

    Fitrah setiap manusia mengharapkan dan mendambakan kesenangan, kesejahteraan, kenikmatan dan keselesaan.

    Dalam kehidupan yang penuh dengan ujian ini, tidak sedikit antara kita berhadapan dengan tekanan perasaan sama ada dalam bentuk stres, runsing, rasa gelisah sehingga seseorang tidak dapat membuat pertimbangan dengan betul.

    “Mengapakah gejala ini terjadi kepada manusia?,” perkara ini ditekankan oleh Khatib semasa menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk ‘Rahsia ketenangan jiwa’, hari ini.

    Di dalam Al-Quran memang terdapat jawapan jelas tentang sebab penyakit tersebut terjadi, jelas Khatib, dan ini antaranya disebabkan seseorang itu tidak tahan diuji.

    Perbanyakan Zikrullah dan bacaan Al-Quran mampu memberi ketenangan jiwa. – GAMBAR UNSPLASH

    “Sebagai contoh, apabila seseorang itu diberikan ujian oleh Allah SWT sama ada berbentuk kesusahan, bala bencana dan mala petaka seperti kemiskinan, banjir, kemarau, kebakaran, maka akan gundah gulana dan berkeluh kesah jiwanya”.

    Begitu juga apabila Allah SWT mengurniakan nikmat berupa kekayaan kepadanya, tegas Khatib, akan timbul sikap bakhil atau kikir pada dirinya untuk menolong orang yang memerlukan bantuan.

    Khatib dalam khutbahnya seterusnya mengongsikan antara punca utama tekanan perasaan yang melanda manusia hari ini, apabila hati semakin jauh daripada Allah SWT dan kurang menghayati ajaran agama.

    “Ada yang terlalu sibuk memenuhi kehendak dunia dan nafsu semata-mata, mengejar keseronokan, kemewahan dan hiburan yang melalaikan sehingga mengabaikan keperluan rohani yang menjadi sumber ketenangan dan kebahagiaan sebenar,” tegasnya.

    Khatib menyeru untuk kembalilah kepada jalan Allah SWT, dengan perbanyakan amal soleh dan hidupkan Zikrullah dalam diri agar kembali tenang dan damai.

    Sesungguhnya bagi menyelesaikan masalah, hendaklah menjadikan Al-Quran sebagai petunjuk dan pembimbing utama dalam kehidupan.

    Apabila umat Islam berpegang teguh pada ajaran Al-Quran, mereka akan mahupun menyelesaikan masalah dan kekusutan hidup dengan cara yang diredai dan berkesan.

    Jauhi dari jalan yang merosakkan diri seperti meminum arak, menyalahgunakan dadah atau melakukan penderaan, tegasnya lagi.

    Untuk mendapatkan suasana aman damai, sejahtera, harmoni dan ketenangan jiwa, jelas Khatib,  agama Islam menggariskan panduan yang sangat berkesan dalam merawat penyakit jiwa atau tekanan perasaan.

     Ini antaranya dengan memperbanyakkan zikrullah iaitu mengingati Allah SWT, melaksanakan segala perintah Allah SWT iaitu dengan mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.

    Selain itu, menyucikan jiwa dengan cara menjauhi diri dari segala perbuatan dosa dan maksiat.

    Sebagai orang Islam juga dianjurkan untuk sentiasa berdoa ke hadrat Allah SWT pada setiap masa dan keadaan, doa memiliki peranan penting untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan untuk menenangkan jiwa.

    Rasulullah SAW menganjurkan untuk mengamalkan ketika hati, jiwa, fikiran tidak tenang dan kecewa adalah doa.

    Selain itu, boleh diamalkan doa bagi melindungi diri daripada perasaan dan hati keluh kesah dan tidak tenang.

    GAMBAR UNSPLASH

    Keimanan dan ketakwaan adalah sebagai benteng dalam mengharungi cabaran kehidupan di dunia ini, dan hanya dengan mengamalkan ajaran agama Islam sahaja jiwa manusia akan terselamat daripada kegelisahan dan kekusutan.

    Selain mengingatkan, jangan hanya disebabkan mengejar kesenangan, kemewahan atau kemegahan di dunia mengakibatkan lupa kepada agama.

    “Allah SWT telah memberikan jaminan manusia yang ikhlas dalam melaksanakan ajaran agama Islam yang hanya akan mempunyai hati yang tenteram, aman dan sentosa, “ tegasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda