HARARE, 30 JUN – Kekurangan bekalan elektrik Zimbabwe bermakna bekalan kuasa itu hanya diterima selama beberapa jam pada tengah malam, memaksa pembuat perabot, Richard Benhura, memulakan kerja pada jam 11 malam.
Itu hanya salah satu aspek kesukaran ekonomi yang negara itu alami di mana inflasi rasmi menghampiri 100 peratus dan bekalan penting harian seperti roti dan minyak kerap kekurangan.
“Jika anda mahu bekerja, anda perlu berada di sini pada tengah malam dan mula bekerja ketika elektrik ada sehingga ia terputus pada jam 4 pagi,” kata Benhura, 32, kepada AFP.
Zimbabwe, di mana ekonominya ditimpa krisis baru-baru ini, memperkenalkan pemotongan bekalan kuasa sehingga 19 jam sehari awal tahun ini, memaksa kebanyakan penduduk menyeterika atau memasak pada tengah malam. Bagi Egenia Chiwashira, seorang penduduk di kejiranan miskin luar bandar Harare, masalah kekurangan bekalan elektrik itu adalah beban yang serius.
Ibu kepada tiga orang anak itu, berkata dia bergelut untuk memberi makan keluarganya, apatah lagi mengeluarkan wang untuk mendapatkan penjana kuasa.
“Kami selalu dalam kegelapan. Ia bukan mudah. Kehidupan di bandar menjadi sukar tanpa elektrik. Anda perlu membeli kayu api, berbeza dengan di kawasan kampung di mana anda boleh pergi mendapatkannya di hutan.” – AFP
