HARARE, 18 SEPT – Pihak berkuasa hidupan liar Zimbabwe kelmarin dalam temu bual dengan AFP mempertahankan rancangannya membunuh 200 gajah untuk mengurangkan tekanan ke atas sumber yang dibelenggu kemarau.
Diumumkan minggu lalu, badan itu berkata pembunuhan pertama negara itu dalam kira-kira 35 tahun adalah perlu kerana Zimbabwe sedang bergelut menghadapi lebihan populasi haiwan besar itu bersama-sama dengan kemarau yang menyebabkan beribu-ribu haiwan mengalami kekurangan makanan.
Langkah itu diambil selepas Namibia mengumumkan bahawa ia merancang untuk membunuh lebih daripada 700 haiwan liar, termasuk 83 gajah, bagi mengurangkan tekanan ke atas padang ragut dan bekalan air yang terjejas akibat kemarau, serta menyediakan daging untuk program bantuan makanan.
Kedua-dua pembunuhan itu menerima kritikan daripada aktivis pemuliharaan dan kumpulan hak asasi haiwan.
Namun, dengan populasi gajah Zimbabwe dianggarkan berjumlah 84,000, pembunuhan tersebut tidak memberi kesan, kata jurucakap Pihak Berkuasa Taman dan Hidupan Liar Zimbabwe (ZimParks), Tinashe Farawo, kepada AFP.
ZimParks sebelum ini menganggarkan terdapat kira-kira 100,000 ekor gajah di negara itu.
“Jika awda membuat pengiraan, ia hanya sedikit,” kata Farawo, sambil menambah bahawa walaupun pembunuhan telah terbukti berkesan, orang tidak mahu menerima hakikat mengenai isu emotif itu. – AFP