Tuesday, April 16, 2024
25.4 C
Brunei

    -

    Ziyad tiada masalah buru emas di Solo

    KUALA LUMPUR, 19 JULAI – Jaguh lontar peluru para Malaysia, Muhammad Ziyad Zolkefli optimis membawa pulang pingat emas di Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 di Solo (Surakarta), Indonesia meski-pun tiada sasaran diletakkan ke atas kontinjen Malaysia.

    Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio 2016 itu yang bakal beraksi dalam acara lontar peluru F20 turut menyasarkan untuk memecahkan rekod APG miliknya.

    Namun, atlet berusia 32 tahun itu yang juga meraih gelaran juara dunia 2013 dan 2017 tetap berwaspada dengan cabaran hebat yang menantinya di Solo.

    Menurut Muhammad Ziyad, beliau belum bersedia untuk memperbaharui rekod lontaran kontrover-sinya di Paralimpik Tokyo 2020 iaitu 17.94 meter (m) sambil mengakui masih banyak perkara perlu diusahakan untuk sekali lagi melakukan lontaran sejauh itu.

    Muhammad Ziyad turut memaklumkan, walaupun berasa sedikit tertekan kerana menjadi sandaran emas, beliau menjadikan perkara itu sebagai pembakar semangat buatnya untuk membuat yang terbaik di temasya berkenaan.

    Kali terakhir Muhammad Ziyad beraksi di APG ialah ketika di Kuala Lumpur apabila berjaya menggondol emas dengan melakukan lontaran sejauh 16.81m pada 2017. Pada Sukan SEA Hanoi, beliau berjaya menghadiahkan Malaysia pingat gangsa selepas melakukan lontaran sejauh 17.20 meter (m) di Stadium Nasional My Dinh, pada Mei lepas.

    Atlet paralimpik Malaysia akan berlepas pada 26 Julai ini bagi menyertai temasya berprestij berkenaan yang akan berlangsung dari 30 Julai hingga 6 Ogos di Solo, Indonesia. – Bernama

    Muhammad Ziyad Zolkefli optimis membawa pulang pingat emas di Sukan Para ASEAN (APG) ke-11 di Solo (Surakarta), Indonesia nanti. – Agensi
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Iran tutup sementara kemudahan nuklear

    TEHRAN, 16 APRIL – Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas ‘pertimbangan keselamatan’ susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel pada hujung...