Saturday, February 1, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Zizan mengerti peritnya bencana

    Musibah banjir yang melanda beberapa negeri baru-baru ini memberi kesan terhadap perasaan pelakon dan pelawak popular, Zizan Razak, 40.

    Menurut Harian Metro, situasi itu mengingatkan Zizan ke era hujung tahun 80an ketika dia masih kecil apabila rumah keluarganya di Terengganu ditenggelami banjir.

    “Saya masih kecil waktu itu. Arwah datuk yang mendukung saya mengharungi banjir. Masa nak keluar rumah itu saya tengok ada biawak di belakang mesin basuh.

    “Saya tak pasti barang rosak teruk, tapi saya ingat air separuh dada orang dewasa. Apa pun saya tahu musibah itu sangat-sangat beri kesan kepada sesiapa yang melaluinya,” katanya.

    Zizan berkata, selepas datuknya bersara, mereka yang sebelum itu tinggal di kuarters berpindah ke Kuala Lumpur.

    Menurut Zizan, ketika banjir melanda beberapa kawasan di Terengganu, rumah bapa saudaranya turut terkesan dan dia bersyukur rumah neneknya tidak dilanda banjir.

    “Banjir ini satu ujian yang berat buat sesiapa yang mengalaminya. Pengalaman merasai banjir waktu kecil dulu, saya tahu ia sangat renyah dan menyusahkan. Apa-apa pun kita kena reda sebab semua ini ujian Allah.

    “Cuma saya rasa sedikit ralat bila saya tak sempat hulurkan bantuan. Namun, saya bantu juga mana yang boleh. Saya tak sempat balik Terengganu, tapi saya sentiasa dapatkan perkembangan terkini dengan komuniti di sana dan mana yang saya boleh bantu, saya bantu,” katanya.

    Zizan bagaimanapun bersyukur banyak bantuan yang dihulurkan badan bukan kerajaan (NGO) menerusi sukarelawan yang digerakkan. – Agensi

    Pengalaman berdepan musibah banjir membuatkan Zizan tahu mengenai kepayahannya. – Harian Metro
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda