Pelakon dan pengarah, Zizan Nin menafikan dakwaan sedang menderita penyakit kanser susulan gambar perubahan penampilannya lebih kurus dan memakai rambut palsu tersebar.
Zizan berkata, dia sebenarnya berhadapan dengan masalah kolesterol dan terpaksa menjaga amalan pemakanan sehingga nampak lebih kurus berbanding sebelum ini.
“Sebenarnya kanser ini memang sudah parah dalam diri saya, tapi bukan kanser penyakit, sebaliknya kanser mahu mengarah dan lebih aktif dengan kerja di balik tabir. Itu sahaja yang parah, kanser lain tiada.
“Alhamdulillah, saya sihat sahaja. Sebenarnya perkara ini diperkatakan selepas tersebarnya gambar saya memakai rambut palsu yang diambil ketika penggambaran filem Roxy, dua tahun lepas.
“Bila selalu kena pakai rambut palsu, saya panas, jadi cukur kepala saya.

“Saranan doktor juga disebabkan kolestrol tinggi, saya kena jaga pemakanan tapi bila terlebih jaga, saya jadi kurus. Itu sebab ramai yang bertanya,” katanya kepada BH Online.
Zizan mengakui terkejut dakwaan menghidap kanser tular sehingga menerima banyak pertanyaan rakan-rakan dan keluarga.
“Saya terkejut juga bila berita ini tersebar, tapi tidaklah sedih. Cuma, saya rasa mereka ambil berat. Iyalah kita tak tahu keadaan orang.
“Sebagai contoh, Allahyarham Adibah Noor. Kita tak tahu, bila dapat tahu beliau meninggal dunia, saya sangat terkejut.
“Cuma, pada usia 50 tahun, saya sihat. Saya buat pemeriksaan kesihatan setiap tahun, tapi itulah kolesterol memang kena kawal.
“Sekarang tahap kolesterol saya masih dalam pemantauan. Saya ada mengambil ubat kolesterol pada 2014 tetapi selepas dua tahun, saya berhenti ambil ubat dan jaga pemakanan dengan lebih ketat sehingga sekarang.
“Susah nak turun paras kolesterol, mungkin sebab genetik,” katanya. – Agensi