Tindakan pelakon dan pelawak Zizan Razak mendapat pujian ramai apabila dia menyumbangkan keseluruhan bayaran diterima semasa menjadi tetamu dalam sebuah acara yang berlangsung di Terengganu, Malaysia pada awal Mei lalu.
Bukan untuk bermegah, bagi Zizan atau Mohamad Razizan Abd Razak, 41, amalan sedekah ini juga memberi contoh baik kepada masyarakat.
Malah dia sendiri telah mendapatkan pandangan golongan berilmu sebelum secara spontan berbuat demikian.
“Saya sudah tanya ustaz dan diberitahu perbuatan itu dapat memberi iktibar kepada orang lain agar mereka berminat untuk lakukan perkara sama.
“Bila ustaz bercakap begitu, saya niat melakukan sumbangan kerana Allah. Saya juga berpendapat ini cara terbaik kerana pastinya memberi impak positif sama ada kita nampak atau tidak,” katanya kepada mStar.
Zizan mengulas perkara itu selepas tular video dia menyerahkan sampul berisi sejumlah wang kepada penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus di acara Forum Dialog Anak Muda di Festival Makar Fest 2.0.
Wang bayaran sebagai moderator itu diberikan sebagai sumbangan kepada Persatuan Kebajikan Fisabilillah Terengganu.
Tambah pelakon ini sejak awal lagi dia sudah berniat untuk menyumbangkan bayaran tersebut bagi tujuan kebajikan.
“Ketika itu saya terfikir dan memang dari awal minta penganjur untuk sediakan wang tunai. Bila dah terlintas begitu saya terus buat sahaja.
“Saya dah berniat tak mahu pegang duit itu. Kalau masuk akaun bank susah pula nak keluarkan semula,” ujarnya.
Sentiasa percaya pada rezeki, bagi Zizan amalan bersedekah juga mengajar dia menjadi lebih matang dan bijak menjaga tingkah-laku.
Sumbangan yang diberikan sebelum ini bukanlah kali pertama dilakukan olehnya.
“Amalan begini mengingatkan saya untuk elak melakukan perkara tidak elok. Setiap rezeki bukan untuk saya sahaja. Cara terbaik adalah dengan melakukan amal soleh kerana kita tidak tahu pengakhiran bila, amalan kita cukup atau tidak.
“Saya takut orang melihat saya baik sedangkan diri ini juga pendosa. Sama seperti orang lain, saya juga tidak lari daripada melakukan kesalahan,” luahnya. – Agensi


