Kehilangan nenek tercinta empat tahun lalu meninggalkan kesan besar kepada pelakon Zizan Razak terutamanya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Zizan atau Mohd Razizan Abdul Razak, 40, berkata, dia dan keluarga tidak lagi pulang ke Terengganu meraikan hari raya sejak neneknya meninggal dunia pada Oktober 2020 akibat kanser.
“Selepas nenek meninggal dunia, ia memberi kesan besar kepada saya dan keluarga.
“Masuk ke rumah arwah sebelum ini pun rasa berbeza walaupun ahli keluarga tak meluahkan tapi saya tahu pemergian nenek masih memberi kesan.
“Kami meraikan Aidilfitri di Kuala Lumpur sahaja. Mungkin jika ada masa terluang mungkin selepas itu baru pulang ke Terengganu berjumpa saudara-mara,” katanya kepada mStar.
Berkongsi kenangan bersama arwah, Zizan memberitahu sate air tangan neneknya tidak mungkin dapat dilupakan.
Malah pelakon ini juga memberitahu hubungan dia dan neneknya memang rapat sejak kecil.
“Saya lahir di atas katil dalam bilik nenek. Tak tahulah bagaimana keadaan ketika itu sehingga ibu saya boleh bersalin di sana.
“Memang sejak kecil saya akan pulang ke rumah nenek di Dungun hampir setiap minggu.
“Cuma apabila sudah bergelar artis memang jarang berjumpa. Itu juga membuatkan saya sedikit kesal, jadi hargailah masa walau sesaat,” ujarnya. – Agensi