Saturday, May 10, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Zizan tak mahu hilang nikmat kesihatan

    Menjadi seorang bintang terkenal seperti Zizan Razak tidak semudah yang disangka kerana di sebalik populariti yang diraih banyak perkara terpaksa dikorbankan oleh pelawak dan pelakon berkenaan.

    Zizan, 38, berkata, dia pernah melalui fasa yang mana dia terlalu memberi fokus kepada karier yang memerlukan komitmen tinggi sehingga mengabaikan nikmat paling penting iaitu kesihatan.

    Dedah pelakon filem Abang Long Fadil 3 itu, dia pernah mengalami kebimbangan melampau sehingga menerima rawatan selain menjalani pemeriksaan di Institut Jantung Negara (IJN).

    “Kerja kuat sekalipun, kesihatan kena jaga, tidur perlu cukup. Saya sudah lalui ketika terlalu sibuk bekerja sehingga abaikan kesihatan. Rambut sampai gugur akibat tak cukup tidur.

    “Ada kerja yang beri bayaran lumayan tetapi hujung-hujung saya sendiri tertekan dan mengalami anxiety. Banyak duit sekali pun kalau tak sihat, tidak berguna.

    “Saya pernah ke IJN kerana takut ada masalah jantung tetapi Alhamdulillah doktor beritahu saya sihat dan menasihatkan agar saya mendapatkan rehat mencukupi,” katanya kepada wartawan.

    Zizan ditemui ketika majlis tayangan perdana filem terbaharunya berjudul Abang Long Fadil 3 (ALF3) yang berlangsung di TGV, KLCC baru-baru ini.

    Dalam pada itu, Zizan berkata, ekoran itu juga dia lebih selektif terhadap tawaran yang diberikan selain tegas tentang jadualnya.

    “Sekarang saya memang memilih kerja dan demand dalam hal berkaitan waktu. Bukan tak boleh tolak ansur cuma jika boleh biarlah balik awal kerana waktu tidur itu penting.

    “Saya minta pihak pengurusan supaya dapatkan kerja yang tidak terlalu lewat. Saya juga tidak mahu susahkan diri sendiri kalau sakit dan mengganggu kerja orang lain.

    “Kalau tak boleh terima dengan waktu kerja saya, tidak mengapa. Saya percaya ada rezeki lain akan datang,” ujarnya. – Agensi

    Zizan berkata dia kini lebih selektif terhadap tawaran yang diberikan selain tegas tentang jadualnya. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda