Dijangka tiba di perairan Gaza sehari lagi, penyanyi Zizi Kirana hanya menyerahkan nasib mereka sebelum konvoi Flotila Sumud Global (GSF) memasuki kawasan berisiko zon kuning kepada ketentuan Allah.
Zizi atau nama lengkapnya, Nur Fazelah Mad Tahil, 40, berkata semua sukarelawan termasuk delegasi Malaysia yang menyertai misi memecahkan sekatan rejim Israel terhadap Palestin itu menyedari situasi genting bakal dihadapi serta berisiko dipintas Israel.
“Saya tak tahu apa akan jadi (lepas memasuki zon kuning), sebab sebelum masuk zon bahaya ini pun dah berlaku lebih 10 serangan dron yang kita tidak jangka.
“Segala-galanya kita serah pada Allah, kita hanya merancang tetapi Allah SWT perancangan-Nya Maha Hebat,” katanya dalam hantaran di Instagram.
Pada masa sama, isteri kepada pelakon Yusuf Bahrin itu berdoa agar perjalanan konvoi membabitkan lebih 50 kapal layar dan bot dari 45 negara itu dipermudahkan.

“Ya Rabb, kami sedang menuju ke Gaza. Jagalah dan lindungilah kami. Kami tak punya siapa-siapa tempat bergantung selain Engkau, Ya Allah,” ujarnya yang turut memuatnaik keadaan dalam kapal dinaikinya.
Menurut penganjur, flotila bantuan antarabangsa kini kurang 399 batu nautika dari Semenanjung Gaza dan dijangka tiba di wilayah itu esok.
Konvoi yang terdiri daripada kira-kira 50 kapal, berlayar awal bulan ini bagi menghantar bantuan kemanusiaan, khususnya bekalan perubatan ke Semenanjung Gaza, menurut Kosmo.
Menurut rakaman video yang dikongsi seorang aktivis Turkiye di atas kapal, sebuah kapal tentera laut Greece berundur selepas mengiringi konvoi itu di perairan antarabangsa.
Selain Zizi, delegasi yang berlepas dari tanah air pada 31 Ogos lalu turut disertai penyanyi Ardell Aryana dan Heliza Helmi serta pempengaruh, Farah Lee. – Agensi

