STOCKHOLM, 27 April – Persekutuan Bola Sepak Sweden telah mengumumkan bahawa bintang penyerang Zlatan Ibrahimovic, yang bersara dengan pasukan kebangsaan pada tahun 2016, tidak akan membuat aksi kembali bagi Piala Dunia di Rusia, sekali gus menamatkan spekulasi yang berlarutan selama beberapa minggu.
“Saya sudah bercakap dengan Zlatan Selasa lalu. Dia berkata bahawa dia tidak mengubah fikirannya mengenai pasukan kebangsaan,” kata pengarah urusan pasukan kebangsaan, Lars Richt, dalam satu kenyataan selepas pemain itu kerap memberikan petanda bahawa dia mungkin beraksi kembali.
Dalam satu kemunculan dalam satu siaran televisyen ABC, Jimmy Kimmel pada 18 April lalu, bintang baru LA Galaxy itu mengusik para penyokong bahawa dia mungkin keluar dari persaraan untuk bermain di Rusia.
Terkenal dengan egonya, Zlatan berkata bahawa, “Ia bukan Piala Dunia jika saya tidak bermain” dan menambah, “Ya, saya akan pergi ke Piala Dunia.”
Kali terakhir pemain berusia 36 tahun itu beraksi dalam Piala Dunia bersama Sweden adalah pada tahun 2006, bersara daripada pasukan kebangsaan selepas Kejuaraan Eropah 2016.

Dia berkata bahawa dia mahu memberikan tumpuan pada kehidupan barunya di Major League Soccer (MLS) sebelum memikirkan Piala Dunia.
Susulan kecederaan yang membelenggu dirinya semasa berada di Manchester United, bapa kepada dua orang anak itu menjadi antara pemain terbaru yang meninggalkan bola sepak Eropah ke Amerika Syarikat.
Pada 15 April, penyerang dengan ketinggian 1.95 meter itu membuat tweet, “Peluang untuk saya bermain di Piala Dunia adalah ‘tinggi ke langit’.”
Dia kemudian memberitahu media Sweden bahawa, “Berkemungkinan besar…ia tidak akan terjadi.” – AFP