Ahad, 23 November 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Zlatko dalic sasar croatia mara ke final

    DOHA, 13 DIS – Lionel Messi dan Luka Modric bakal berdepan satu sama lain dalam aksi separuh akhir Piala Dunia antara Argentina dan Croatia pada awal pagi Rabu, terdesak untuk menyambar peluang terakhir untuk memenangi trofi utama kejohanan.

    Dalam aksi separuh akhir kedua pada awal pagi Khamis pula, penyandang juara, Perancis bakal bertemu pembunuh gergasi, Maghribi, pasukan Afrika pertama yang mencapai peringkat empat terakhir dalam Piala Dunia.

    Namun, pertama sekali, semua mata akan tertumpu ke Stadium Lusail, di mana Messi, 35, akan cuba membawa Argentina mara ke peringkat akhir buat kali kedua dalam lapan tahun menentang naib juara tahun 2018 itu.

    Messi, yang mengalami kekalahan kepada Jerman pada aksi final 2014, terdesak untuk melengkapkan kerjayanya yang luar biasa dengan mengikut jejak seorang lagi bintang Argentina, mendiang Diego Maradona, yang berjaya menjulang trofi pada tahun 1986.

    Penyerang Paris Saint-Germain itu merupakan tokoh penting dalam kemenangan ke atas Belanda pada peringkat suku akhir pada hari Sabtu lepas, apabila rekod tertinggi 18 kad kuning telah dilayangkan selepas para pemain daripada kedua-dua pasukan terlibat dalam perbalahan.

    Malah, Messi yang pada kebiasaannya berbudi bahasa telah dilihat melemparkan kata-kata kesat kepada pemain Belanda semasa dia ditemu bual selepas tamat perlawanan.

    Zlatko Dalic semasa sidang media di Pusat Konvensyen Kebangsaan Qatar (QNCC) di Doha baru-baru ini. – AFP

    Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni mempertahankan kelakuan para pemainnya pada Isnin, sambil menegaskan mereka tidak mempunyai apa-apa untuk meminta maaf.

    “Perlawanan tempoh hari telah dimainkan dengan cara yang betul oleh kedua-dua belah pihak. Itulah bola sepak,” kata jurulatih Argentina yang berusia 44 tahun itu.

    “Saya tidak bersetuju mengatakan kami tidak tahu bagaimana untuk menang. Perlawanan telah berlangsung dengan cara yang betul.”

    Croatia, yang menewaskan Jepun dan pasukan pilihan sebelum kejohanan, Brazil dalam sepakan penentuan penalti untuk mara ke peringkat empat terakhir, belum pernah menang dalam pusingan kalah mati dalam 90 minit pertama kejohanan utama sejak Piala Dunia 1998, di mana mereka mendapat tempat ketiga.

    Walaupun melakukannya dengan cara yang sukar, negara seramai empat juta penduduk itu mampu memberi kejutan kepada dunia bola sepak setelah mencapai peringkat final empat tahun lalu di Rusia, di mana mereka tewas kepada Perancis 4-2.

    Dengan pengatur serangan Real Madrid, Modric masih lagi ketua di gelanggang pada usia 37 tahun, sekali lagi menafikan kebarangkalian dengan berpeluang mara ke peringkat final buat kali kedua berturut-turut.

    Jurulatih, Zlatko Dalic berkata dia mahu perlawanan pada hari Rabu nanti dikenang sebagai ‘perlawanan teragung’ dalam sejarah negara.

    “Untuk menjadi antara empat pasukan kebangsaan terbaik pada Piala Dunia berturut-turut, adalah merupakan kejayaan besar buat Croatia,” katanya.

    “Walau bagaimanapun, kami mahu lebih lagi. Saya optimis dan mempunyai keyakinan penuh ke atas pemain-pemain saya. Mereka telah menunjukkan mutu permainan yang hebat dan kekuatan diri. Kami layak untuk mara ke final,” tambahnya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda