IPOH, 28 Julai – Zon perdagangan bebas digital (DFTZ) yang ditubuhkan oleh kerajaan akan menggabungkan zon fizikal dan maya dengan menambahkan perkhidmatan dalam talian dan digital untuk memudahkan e-dagang antarabangsa dan merangsang inovasi berasaskan Internet.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata ia juga bertindak sebagai tempat untuk menyokong syarikat-syarikat Internet menjalankan perniagaan barangan, menawarkan perkhidmatan, berinovasi serta mencipta penyelesaian bersama.
“DFTZ merupakan jendela e-dagang kepada dunia bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ASEAN dan gerbang pilihan pilihan bagi jenama dan pasaran global ke rantau ini.

“Objektif utamanya ialah untuk membolehkan PKS Malaysia mengeksport dan meletakkan negara sebagai hab serantau untuk logistik e-dagang,” kata beliau dalam ucapannya pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-71 Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Najib berkata dalam persekitaran global yang pesat berubah, sektor swasta perlu lebih berdaya tahan dengan mengejar pelbagai strategi seperti meningkatkan kemahiran, inovasi, teknologi dan kreativiti, serta mengubah minda ke arah produktiviti yang lebih besar.
“Semasa bergerak ke arah produktiviti yang lebih tinggi, industri bukan sahaja perlu memberi tumpuan kepada rantaian bekalan, tetapi juga terlibat secara aktif dalam aktiviti pengeluaran nilai tambah yang lebih tinggi melalui kerjasama strategik atau perkongsian teknologi,” katanya. – Bernama