CHERNOBYL, Ukraine – Kamera, cermin mata hitam dan pengesan radioaktif, semuanya haruslah diperiksa dan dibawa bersama oleh para pengunjung yang ingin mencari keseronokan dan keunikan dengan melawat Chernobyl, sebuah kawasan yang dicemari radiasi, di mana jumlah pelawat semakin meningkat.
Peralatan yang disebutkan tadi dapat membantu menavigasi tapak berkenaan, apa yang masih tersisa dalam tragedi kemalangan nuklear terburuk di dunia itu.
Zon pengecualian yang tidak didiami, berukuran radius 30 kilometer di sekitar bekas stesen janakuasa nuklear, telah menyaksikan lonjakan pelancong dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Kira-kira 50,000 orang telah melawat kawasan tersebut pada tahun lalu, peningkatan sebanyak 35 peratus pada tahun 2016, untuk melihat lebih dekat kawasan kilang yang terjejas, di mana reaktor keempatnya telah meletup pada 26 April 1986. Sebanyak 70 peratus daripada jumlah pengunjungnya adalah warga asing.
“Saya ingin melihat sesuatu yang berbeza,” kata Maja Bandic, seorang warga Croatia berusia 50-an, yang menggambarkan hari lawatannya itu sangat ‘menakjubkan’.




Sebuah gerai cenderamata yang berada di pintu masuk utama ke zon pengecualian, terlihat menjual baju kameja-T dan magnet, dengan simbol amaran radiasi hitam-kuning dan juga topeng pelindung gas era Soviet.
Para pengunjung juga dapat menginap beberapa malam di sebuah hotel asas atau di salah satu daripada dua asrama berhampiran stesen janakuasa tersebut.
Viktor Kharchenko, agensi pelancongan bagi Go2chernobyl.com, yang telah mengadakan dan menjalankan lawatan ke tapak tersebut sejak tahun 2012, mengatakan bahawa pertumbuhan pelawat itu muncul selepas ulang tahun ke-30 bagi bencana itu pada tahun 2016. Begitu juga dengan pemasangan kubah logam mega di tahun yang sama, pada reaktor yang terjejas bagi mengurangkan kebocoran radiasi.
Perkembangan ini telah disiarkan secara meluas oleh media-media antarabangsa, mengurangkan kebimbangan masyarakat terhadap keselamatan di Chernobyl, menurut Kharchenko, sambil menambah bahawa risikonya kepada pelancong adalah minimum.
“Sehari tinggal di kawasan tersebut bersamaan dengan dua jam penerbangan di Lautan Atlantik dari segi dos radiasi yang diserap,” katanya.




Tetapi menurut salah seorang anggota daripada kumpulan pelancongan, Joel Alvaretto, seorang pelajar berusia 28 tahun dari Argentina, mengakui bahawa dia merasa ‘sedikit takut’ terhadap radiasi, setelah mendengar apa yang didengari nya iaitu “awak akan dapat melihat kesannya kemudian, beberapa tahun selepas itu.”
Semasa meninggalkan Chernobyl, semua pelawat perlu melalui pemeriksaan radiasi. Ahli-ahli kumpulan pelancongan kelihatan berdiri di dalam dosimeter secara bergilir-gilir, untuk memeriksa sama ada kesemua mereka itu di tahap yang ‘bersih.’
Beberapa agensi pelancongan Ukraine ada menawarkan lawatan dari sehari sehinggalah tujuh hari, dengan harga dari 25 hingga 650 euro (AS$30 hingga AS$790).
Aktiviti yang ditawarkan termasuklah melawat reaktor yang sudah dipasangkan dengan kubah baharu, memberi makan ikan duri yang begitu besar di perairan radioaktif di kolam penyejukan dan memandu merentasi ‘hutan merah’, di mana kayu painnya yang berwarna hijau bertukar kepada merah selepas tragedi itu berlaku. Ianya disebabkan penyerapan radiasi yang begitu tinggi.
Pokok-pokok itu telah ditebang dan ditimbus semasa operasi pembersihan. Sehingga kini, apabila bas pelancongan memandu melintasi kawasan tersebut, mereka tidak akan berhenti, sementara bunyi pengesan radioaktif mengeluarkan bip dengan kuat sebagai tanda tingginya radiasi di kawasan itu.
“Ianya adalah sebuah simfoni,” kata salah seorang pelancong.


Kemuncak bagi lawatan itu adalah lawatan ke Pripyat, sebuah bandar hantu yang dibina untuk pekerja nuklear beberapa kilometer dari kilang nuklear. Hampir 50,000 penduduk telah dipindahkan semasa tragedi itu berlaku dan tidak pernah kembali ke rumah mereka.
Blok flat dan sekolah di mana mainan kanak-kanak, buku dan nota tulisan tangan masih kelihatan berselerak di sana. Begitu juga permainan-permainan taman hiburan yang berada di pusat dataran tersebut.
Adam Ridemar, seorang pelajar Sweden yang datang bersama bapanya untuk melihat ‘tempat ikonik’ ini mengatakan bahawa ia “sangat menakjubkan apabila melihat kesemua ini, melihat bagaimana seluruh bandar raya itu kini menjadi relik.”
Dia terkejut apabila melihat tumbuh-tumbuhan yang tumbuh subur dan menyangka hanya akan melihat himpunan ‘hutan konkrit.’
Alam semula jadi telah mengambil alih kawasan-kawasan yang ditinggalkan ini seperti jalan tarmak batu tar yang ditumbuhi dengan rumput liar dan juga blok pangsapuri yang ditimbus dengan lalang dedaunan, suatu pemandang yang mempesonakan bagi ramai pengunjung.
“Ia membuktikan bahawa alam semula jadi lebih kuat daripada manusia selepas semua ini,” kata Bandic.
Manusia “mempunyai matahari, angin, mereka tidak memerlukan tenaga nuklear: ia sangat berbahaya,” tambahnya. – AFP