Tuesday, April 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Zoo Barcelona beri penjagaan khas untuk gajah tua

    BARCELONA, 13 APRIL – Di Zoo Barcelona, seekor gajah Afrika berusia 40 tahun dengan tenang menghulurkan kakinya melalui pagar logam untuk menerima rawatan kuku kaki harian. Penjaga zoo membersihkan tapak kakinya dengan lembut, lengkap dengan hirisan buah epal.

    Rawatan tersebut adalah sebahagian daripada penjagaan geriatrik khas yang disediakan oleh Zoo Barcelona untuk haiwan tua yang tidak lagi boleh dilepaskan ke habitat liar, sejajar dengan komitmen zoo-zoo seluruh dunia terhadap penjagaan sepanjang hayat.

    Menurut Pilar Padilla, ketua penjagaan mamalia di zoo itu, “Melepaskan gajah -gajah kembali ke alam liar merupakan satu kesilapan. Kemungkinan besar mereka tidak akan dapat bertahan.”

    Zoo tersebut telah mengalami perubahan pendekatan sejak beberapa dekad lalu, dengan memfokuskan kepada pemuliharaan spesies dan pendidikan, meninggalkan paradigma lama yang sering menampilkan haiwan eksotik sebagai tontonan.

    Pendekatan baharu ini termasuklah memahami dan menyesuaikan keperluan haiwan-haiwan yang semakin tua. Ini mendorong zoo membina kawasan pameran yang lebih besar dan menyerupai habitat semula jadi, seperti kawasan Sahel-Savannah di zoo di bandar Sepanyol itu.

    Seekor gajah Afrika tua bernama Bully di dalam Zoo Barcelona, Sepanyol, 27 Mac. – AP

    Selain program pembiakan untuk melepaskan haiwan yang sihat kembali ke alam liar, zoo masa kini juga mahu memastikan haiwan yang hidup lebih lama hasil kemajuan dalam penjagaan veterinar dapat meniti usia tua dengan baik, kata Martín Zordan, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Zoo dan Akuarium Sedunia (WAZA).

    Menurut Zordan kepada Associated Press di pejabat organisasi itu di Barcelona, “Penjagaan geriatrik khas semakin menjadi keperluan.”

    Tambahnya lagi, seperti manusia, haiwan tua juga memerlukan penjagaan lebih rapi: pemeriksaan kesihatan berkala, rawatan artritis, makanan yang lebih lembut atau tambahan nutrisi, ruang kediaman yang sesuai dan pemantauan kesihatan mental serta tingkah laku.

    Selain menjaga sepasang gajah tua, Zoo Barcelona juga menempatkan seekor serigala berusia 15 tahun, seekor harimau dan seekor harimau kumbang yang masing-masing berusia 17 tahun, serta beberapa burung usia lanjut, termasuk sekumpulan burung flamingo senior.

    Zoo Barcelona bukan satu-satunya zoo di Amerika Syarikat seperti di Baltimore dan Baton Rouge juga mementingkan penjagaan khusus mereka terhadap haiwan tua tersebut. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda