Wednesday, December 18, 2024
27.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Zoo dikecam abaikan buaya sehingga kurus

    GUANGZHOU, 18 DIS – Sebuah zoo di Guangzhou China telah dikecam selepas terdapat video yang tular di media sosial China mengenai seekor buaya yang sangat kurus disimpan di sana.

    Oddity Central melaporkan foto dan video tular berkenaan menunjukkan seekor buaya yang sangat kurus sehingga tulang belakangnya dan tulang rusuknya jelas kelihatan seakan-akan boleh dikira.

    Dilaporkan terletak di Zoo Guangzhou, reptilia itu lebih kelihatan seperti fosil daripada haiwan hidup dan ia mengejutkan apabila buaya itu bergerak perlahan di dalam kandangnya.

    Keadaan buaya yang menyedihkan dalam video berkenaan mencetuskan perdebatan hangat mengenai layanan terhadap haiwan di zoo berkenaan.

    Orang yang merakam dan memuat naik video berkenaan menyatakan kebimbangan terhadap buaya kurus itu dan ramai yang menuduh pihak zoo berkenaan melakukan kekejaman terhadap haiwan kerana menyebabkannya kelaparan dengan mengabaikan keadaannya.

    Sebagai tindak balas, pihak zoo berkenaan mengeluarkan kenyataan menjelaskan bahawa reptilia itu tidak dianiaya dalam apa-apa cara sekalipun dan bahawa keadaan fizikalnya yang sedemikian adalah akibat gastroenteritis.

    Ia adalah satu keadaan yang biasanya apabila dijangkiti bakteria atau virus menyebabkan gejala muntah dan cirit-birit yang menyebabkan penurunan berat badan yang sangat ketara pada penghidapnya.

    “Buaya itu kini menerima rawatan dan akan diberi penjagaan tambahan pada masa hadapan,” kata jurucakap zoo kepada wartawan China.

    Penjelasan daripada zoo berkenaan tidak banyak membantu pengkritik kerana ramai yang masih ragu-ragu, sementara yang lain bertanya berapa lama pihak zoo telah membiarkan gastroenteritis buaya itu tidak dirawat. – Agensi

    Atas & Bawah: Buaya yang menyedihkan dari foto dan tangkap layar dari video yang tular berkenaan. – Oddity Central

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda