WARSAW, 18 OKT – Sebuah zoo di Poland meraikan kelahiran empat ekor anak harimau Sumatera, mengumumkan kelahiran haiwan itu hari ini selepas merahsiakannya selama beberapa minggu kerana bimbang haiwan itu mungkin tidak dapat diselamatkan.
Pegawai di Zoo Wroclaw di bandar Wroclaw di barat daya Poland berkata harimau itu adalah spesies yang terancam kritikal dengan jumlah populasi yang semakin berkurangan kepada kira-kira 400 di alam liar, dilahirkan pada 22 Julai. Tetapi zoo itu memilih untuk tidak mendedahkan berita itu kepada umum sehingga harimau itu dapat membesar sedikit, mendapat sedikit kekuatan dan divaksinasi, kata jurucakap zoo, Weronika Lysek.
Setiap anak harimau kini bersaiz kira-kira dua kali ganda saiz kucing domestik, dengan berat lebih daripada lapan kilogram seekor.
“Kegembiraan itu menjadi lebih besar kerana keempat-empat harimau itu membesar dengan sihat, aktif dan bersemangat untuk makan serta bermain antara satu sama lain dan dengan ibu bapa haiwan itu,” kata Sergiusz Kmiecik, pemangku presiden zoo, yang telah membiakkan harimau Sumatera sejak 1960an.
Kempat-empat anak harimau itu adalah anak kepada ibu, Nuri dan bapa, Tengah, yang empat tahun lalu melahirkan seekor harimau betina, Surya. – AP