Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Zoo Thailand disiasat selepas penjaga diserang singa  

    BANGKOK, 12 SEPT – Sebuah zoo di Thailand telah ditutup sementara selepas seekor singa menyerang seorang penjaga zoo sehingga maut, kata pegawai hidupan liar hari ini, ketika perhatian terhadap layanan zoo itu terhadap haiwan semakin meningkat.

    Pada Rabu, sekumpulan singa telah menyerang penjaga zoo lama, Jian Rangkarassamee, 58 tahun, sehingga maut ketika dia keluar dari kenderaannya.

    Bedah siasat mendapati, beliau mengalami banyak koyakan luka dalam, patah leher dan arteri pecah.

    Lima ekor singa itu, yang dipercayai diketuai oleh seekor jantan berusia 10 tahun bernama Trump, kini ditempatkan dalam sangkar untuk pemantauan rapi, manakala bahagian zoo yang menempatkan kucing besar ditutup sehingga kerja pembaikan dan penambahbaikan selesai.

    Pengarah pemuliharaan hidupan liar Jabatan Taman Negara (DNP), Chalerm Poommai, memberitahu AFP hari ini, pemeriksaan mendapati pagar rosak, papan amaran yang tidak mencukupi serta terlalu sedikit kamera litar tertutup (CCTV).

    Seorang wakil Safari World hari ini berkata, bahagian lain zoo berkenaan masih kekal dibuka dan selamat untuk pengunjung, tetapi enggan mengulas lanjut.

    Susulan serangan itu, kumpulan kebajikan haiwan Wildlife Friends Foundation Thailand (WFFT) dan People for the Ethical Treatment of Animals (PETA) mengeluarkan kenyataan menggesa kawalan lebih ketat terhadap pemilikan hidupan liar di negara tersebut.

    Sadudee Punpugdee, pengarah perlindungan hidupan liar DNP, berkata penjaga zoo dinasihatkan supaya membawa peralatan pertahanan seperti belantan elektrik atau hos bertekanan tinggi, dan bekerja berpasangan di bawah sistem wajib, buddy system. – AFP

    Gambar ini menunjukkan seekor singa yang terlibat dalam serangan maut terhadap seorang penjaga zoo, di Safari World, Bangkok, Thailand pada 12 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda