BANGKOK, 27 APRIL – Genie, orang utan berusia empat tahun, duduk bersendirian di bangku kayu di bawah terik matahari sambil menikmati makanannya di Khao Kheow Open Zoo di Daerah Si Racha di wilayah Chon Buri, Thailand.
Buah-buahan diletakkan dalam bekas berisi ketulan ais menjadi kegemarannya ketika cuaca panas, sambil matanya liar merenung ke arah sekumpulan jurukamera dan jurugambar video yang sibuk merakam aksinya.
Situasi itu mungkin agak janggal buat dirinya sejak zoo itu ditutup kepada pengunjung pada 18 Mac.
Pertubuhan Taman Zoologi mengarahkan semua 14 zoo di negara ini ditutup susulan keputusan kabinet mengehadkan perhimpunan sosial dan menggesa rakyat duduk di rumah bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Terletak di kawasan seluas 2,000 ekar, kira-kira 100 kilometer dari Bangkok, zoo itu menempatkan lebih 8,000 haiwan dari 300 spesies, haiwan di sini dilihat lebih tenang dan tidak stres.

Pengarah zoo berkenaan Attaporn Srihayrun berkata sejak ditutup, haiwan kelihatan gembira dan bebas daripada tekanan.
“Ada juga beberapa binatang yang kelihatan bosan tanpa kehadiran pengunjung,” katanya kepada Bernama.
Attaporn berkata bagi memastikan rutin harian haiwan tidak berubah kakitangan zoo bergilir-gilir berinteraksi dengan haiwan di zoo itu.
Pihak zoo turut menyiarkan penstriman langsung aktiviti haiwan di laman sosial Facebook rasmi, menerusi program ‘Zoo to Home’ bermula 3 April lalu.
Sehingga kini, program itu sudah menampilkan 21 haiwan termasuk Tapir Malayan, harimau, zirafah, zebra, badak, pygmy hippopotamus dan koala. Setiap episod ditonton ribuan pengguna Facebook.
“Kami tidak pasti bila zoo akan dibuka semula, jadi kami buat penstriman langsung terutama untuk peminat haiwan. Serba sedikit bolehlah mengisi masa terluang dan menghilangkan kebosanan ketika duduk di rumah,” katanya.
Sepanjang tempoh penutupan ini, pihak zoo akan melakukan sedikit kerja-kerja baik pulih, katanya sambil berharap zoo akan dibuka semula tidak lama lagi.
Thailand mengisytiharkan darurat di seluruh negara bermula 26 Mac hingga 30 April. – Bernama