RICHMOND, 27 DIS – Sebuah zoo metro di Richmond, Virginia, menyambut kelahiran anak badak air kerdil, awal bulan ini, menjadikannya anak badak air kerdil ketiga yang dilahirkan di zoo tersebut dalam tempoh lima tahun.
Menurut kenyataan pihak zoo, Iris melahirkan anak pada 9 Disember selepas tempoh gestasi selama tujuh bulan.
Anak yang baru dilahirkan belum diberi nama dan merupakan anak ketiga Iris bersama Corwin. Menariknya, ini adalah kali kedua anak badak air kerdil dilahirkan pada bulan Disember di zoo berkenaan.
“Kebanyakan orang tidak berpeluang mendapatkan anak badak air kerdil sebagai hadiah Hari Natal, jadi kami berasa bertuah kerana menerima dua kelahiran dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” kata pihak zoo dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
Lima hari selepas kelahirannya, anak badak air kerdil tersebut menjalani pemeriksaan neonatal dan mempunyai berat 6.8 kilogram (kg). Pihak zoo berkata badak air kerdil dewasa boleh mencapai berat sehingga 270kg.
Menurut zoo kawasan Richmon, badak air kerdil adalah spesies yang terancam di Afrika Barat, dengan hanya 2,500 ekor badak air kerdil dewasa yang tinggal di habitat liar.
Ia adalah berbeza dengan badak air biasa kerana badak air kerdil biasanya hidup secara bersendirian atau berpasangan dan tidak dalam kumpulan besar.
“Atas sebab ini, dua anak Iris yang terdahulu telah dipindahkan ke pusat zoologi lain untuk hidup bersama pasangan masing-masing dan terus menyumbang kepada usaha pemuliharaan spesies ini,” menurut kenyataan zoo. – AP


