PHNOM PENH, 22 JAN – Zoo tertua di Asia Tenggara, Zoo Yangon bakal menyambut ulang tahunnya yang ke-119 minggu ini walaupun Myanmar berdepan pelbagai cabaran.
Yangon Zoological Gardens atau kini dikenali sebagai Zoo Yangon, mempunyai sejarah panjang yang pasti menggamit kenangan mendalam buat rakyat Myanmar.
Terletak di tengah-tengah ibu kota lama Yangon, di celah-celah kesibukan dan kekalutan yang berpunca daripada ketegangan politik dan ekonomi, Zoo Yangon berkeluasan 28 hektar menawarkan ketenangan kepada pengunjung.
Ia telah menjadi destinasi kegemaran untuk lebih 1.5 juta pelawat setiap tahun, menawarkan gabungan unik antara sejarah dan alam semula jadi yang sukar untuk ditolak.
Zoo itu bukan sekadar mengenai haiwan, tetapi juga sarat dengan sejarah dari zaman penjajahan British.
Ditubuhkan pada tahun 1901, ia telah menjadi sebahagian daripada budaya Myanmar selama beberapa generasi.
Pelbagai acara sedang dirancang di kawasan zoo dari 24 hingga 26 Januari, termasuk persembahan pancaragam, tarian kanak-kanak, kuiz, pertunjukan silap mata, kempen pemuliharaan hidupan liar dan sesi bergambar dengan haiwan jinak.
Acara-acara itu pasti menghidupkan semula kenangan dalam kalangan generasi muda.
Terdapat dua muzium di dalam Zoo Yangon iaitu Muzium Semula Jadi dan Muzium Gajah.
Myanmar turut memiliki dua zoo lain iaitu Naypyidaw Zoological Gardens di ibu negara baharu dan Yadanabon Zoological Gardens di Mandalay. – Bernama