SAN FRANCISCO, 2 MAC – Platform sidang video Zoom semalam melaporkan tahun fiskal yang kukuh apabila pendapatan dan penggunaannya meningkat disebabkan pandemik.
Laporan pendapatan suku keluar dengan ramalan oleh syarikat bahawa ia akan berkembang kira-kira 40 peratus dalam tahun semasa meskipun kemungkinan vaksin akan menjadikan kerja-kerja dalam talian dan sekolah kurang diperlukan.
Persidangan video Zoom telah menjadi keperluan semasa pandemik, apabila orang menggunakannya untuk pekerjaan, pendidikan dan bersosial.
“Suku keempat mencatat prestasi kukuh untuk Zoom,” kata ketua eksekutif Eric Yuan dalam laporan pendapatan.
“Kami berasa rendah hati dengan peranan kami sebagai rakan dipercayai dan enjin untuk kerja moden dari persekitaran di mana-mana tempat.”
Zoom mencatat pendapatan sebanyak AS$882.5 juta semasa suku fiskal yang berakhir pada 31 Januari, dalam peningkatan 369 peratus berbanding tempoh sama setahun terdahulu sebelum gaya hidup diamalkan secara dalam talian disebabkan COVID-19.
Pendapatan bersih dalam suku mencecah AS$260.4 juta berbanding AS$15.3 juta dalam tempoh sama setahun sebelumnya, menurut laporan pendapatan.
Zoom berkata pada akhir Januari, ia mempunyai kira-kira 467,100 pelanggan dengan tenaga kerja lebih daripada 10 orang, peningkatan sebanyak 470 peratus berbanding suku sama tahun sebelumnya.
Saham Zoom naik lebih lapan peratus dalam perniagaan selepas pasaran yang menyusuli pengeluaran angka pendapatan. – AFP
