Monday, September 23, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Zubir Khan kecewa dituduh menipu tentang kecacatannya

    Penyanyi Malaysia, Zubir Khan terkilan apabila masih ramai bertanya tentang kecacatan pada bahagian tangan kanannya, walaupun sudah banyak kali menerangkan keadaan dirinya.

    Memetik laporan mStar, Zubir atau Muhammad Zubir Mohamad Ali, 24, memberitahu apa yang lebih membuatkan beliau lebih kecewa, ada pula menganggap beliau menipu tentang kecacatan dialami demi secebis perhatian.

    Kata Zubir, tanggapan beliau menipu sebagai tidak logik kerana kecacatan dialami jelas dan minta warganet membuat kajian sebelum melontarkan tuduhan.

    “Kalau TikTok ini bila kamera depan lain, kamera belakang lain. Kadang-kadang tangan kiri jadi tangan kanan.

    “Bila mereka tak faham mula ada bertanya soalan pelik-pelik. Takkanlah nak sampai bahu (kecacatan) baru orang nak tahu saya tiada tangan?

    “Bagi saya boleh berfikir secara logik. Takkanlah dalam satu malam saya dah boleh ada tangan sebelah lagi,” katanya kepada mStar.

    Sebagai seorang manusia biasa, Zubir tidak selesa apabila ditanya perkara sama berulang kali walaupun ia sudah dijelaskan.

    Jelasnya, beliau juga tidak pernah menganggap dirinya mempunyai kekurangan malah tidak pernah menagih simpati sesiapa.

    “Saya nak lupakan saya ada kekurangan. Saya boleh ikat tali kasut, pakai baju dan memandu tanpa bantuan orang lain.

    “Semua benda saya buat sendiri sebab saya nak anggap diri saya sempurna.

    “Tapi apabila ada orang tanya dan persoalkan, mereka buat saya teringat tentang kekurangan pada diri sendiri,” jelasnya.

    Sementara itu, Zubir tidak lagi menyembunyikan kekurangan diri malam semakin terbuka berkongsi perkara itu dengan pengikutnya di media sosial.

    “Dulu saya pakai beg untuk sorok tangan saya, mereka asyik tanya kenapa pakai beg. Akhirnya saya buka dan tunjuk tangan saya pada mereka.

    “Kemudian ada pula yang bertanya kenapa tak pakai beg, macam mana boleh tiada tangan. Saya cuba terangkan kepada mereka dari A hingga Z,” jelasnya.

    Zubir sebelum ini pernah memberitahu kecacatan itu berpunca daripada kemalangan apabila tangan kanannya termasuk ke dalam mesin kek ketika beliau berusia empat tahun.

    Penyanyi mula mencuri perhatian ramai apabila berkebolehan menyanyi dan berkomunikasi dalam bahasa Tamil.

    Antara lagu yang mengangkat namanya sebagai penyanyi termasuk Per Yenne Solle, Yennode Macha dan terbaharu OMK (Oh My Khadle) bersama penyanyi Ezra Kairo.

    Kini lagu OMK berjaya memperoleh 1.7 tontonan di YouTube dalam masa kurang dari sebulan dan menjadi trending nombor satu carta digital. – Agensi

    Zubir (kiri) kesal apabila ada pihak masih mempersoalkan kecacatan tangannya. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda