WASHINGTON, 15 JAN – Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg, akan menjadi hos majlis resepsi bersama beberapa penderma Republikan terkemuka minggu depan sempena pelantikan Donald Trump sebagai presiden.
Ia menandakan hubungan yang semakin mesra antara pengasas Facebook itu dengan presiden terpilih berkenaan.
Majlis resepsi yang dihoskan bersama oleh Zuckerberg dijadualkan berlangsung pada malam Isnin, sejurus sebelum majlis tari-menari pelantikan.
Perkara itu dimaklumkan oleh dua individu yang mengetahui rancangan peribadi tersebut kepada Associated Press, dengan syarat identiti mereka dirahsiakan.
Hos bersama lain termasuk Miriam Adelson, pemilik Dallas Mavericks dan balu kepada jutawan kasino Sheldon Adelson; Tilman Fertitta, jutawan kasino, pemilik Houston Rockets, serta pilihan Trump untuk menjawat jawatan duta Amerika Syarikat ke Itali; Todd Ricketts, pemilik bersama Chicago Cubs; dan isterinya, Sylvie Legere.
Zuckerberg sebelum ini dianggap sebagai lawan kepada bekas presiden itu selepas beliau melarang Trump daripada menggunakan Facebook dan Instagram susulan serangan penyokong Trump terhadap Capitol AS pada 6 Januari 2021.
Namun, sejak kebelakangan ini, Zuckerberg dilihat cuba memperbaiki hubungannya dengan Trump, bersama beberapa eksekutif teknologi lain yang turut berusaha menjalin hubungan lebih baik dengan presiden baharu tersebut.
Meta enggan mengulas apabila diminta memberikan komen kelmarin.
Pada November lalu, beberapa minggu selepas Trump memenangi pilihan raya presiden, Zuckerberg dilaporkan terbang ke Florida dan menghadiri majlis makan malam bersama Trump di kelab Mar-a-Lago milik presiden tersebut.
Meta, syarikat induk Facebook dan Instagram, turut menyumbangkan AS$1 juta kepada dana pelantikan Trump.
Zuckerberg minggu lalu mengumumkan perubahan terhadap dasar moderasi kandungan Facebook dan Instagram, termasuk menggantikan semakan fakta pihak ketiga dengan ‘nota komuniti’ yang ditulis oleh pengguna.
Trump mendakwa perubahan itu ‘mungkin’ berpunca daripada ancamannya terhadap pengasas teknologi itu. – AP