“Assalamualaikum cucu ku..salam Ramadan dari tok bah dan tok ma,” kata penyanyi dan komposer Zul (2By2), 53, yang teruja menyambut kelahiran cucu pertamanya pada Selasa.
Zul juga tidak lupa mengucapkan tahniah buat anaknya, Seri Aida Merlissa atas kelahiran anak sulungnya dan mendoakannya agar selamat menjalani tempoh berpantang.
Zul yang dihubungi Harian Metro berkata, dia bersyukur dianugerahkan cucu pada bulan mulia ini.
“Alhamdulillah… rezeki saya dapat cucu tahun ini, tambah lagi pada bulan Ramadan ini. Sebagai bapa, saya titipkan doa untuk anak dan menantu serta cucu comel saya.
“Semoga diberi kesihatan dan dilindungi Allah. Juga semoga rumah tangga mereka berkekalan hingga ke jannah serta dilimpahi rezekinya mencurah-curah.
“Cucu lelaki ini diberi nama Muhammad Malik Faleeq Muhammad A’syraf Wa’ie Afnan. Insya Allah bulan Jun menantu lain pula yang bersalin,” katanya ceria.
Seri Aida Merlissa adalah anak hasil perkahwinan Zul dengan bekas isteri, Ismaliza Ismail.
Malah Ismaliza yang juga kakak kepada penyanyi Tomok, turut teruja dengan kehadiran cucu sulungnya ini.
“Assalamualaikum semua. SubhanAllah…Alhamdulillah…Allahuakhbar.. dengan izin Allah, anak saya Seri Aida Merlissa selamat melahirkan baby boy pukul 9:05 malam dengan berat 2.70 kilogram.
“Alhamdulillah terima kasih Allah. Terima kasih juga pada yang mendoakan,” tulisnya. – Agensi
