Terlalu sibuk penggambaran filem kepolisan terbaharu berjudul Syerif arahan Syafiq Yusof menyebabkan aktor bertubuh sasa, Zul Ariffin terlepas pandang pencalonannya dalam Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-35, tahun ini.
Membolosi tiga kategori dengan empat pencalonan iaitu Aktor Drama Popular, Aktor Filem Popular serta dua pencalonan bagi kategori Ekstra! iaitu Couple Filem Popular menerusi naskhah J2: J Retribusi dan Talbis Iblis.
Zul yang ditemui di set penggambaran filem Syerif di Lapangan Terbang Lama, Tentera Udara Diraja Malaysia, Sungai Besi mengakui terkejut dengan pencalonan berkenaan.
Tidak berhasrat menarik diri seperti keputusan pernah dilakukan dua tahun lalu, aktor berusia 36 tahun itu sebaliknya tidak sabar memeriahkan malam kemuncak ABPBH 35 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 21 Julai depan.
“Saya terkejut dengan pencalonan ini, malah tidak menyedari nama dicalonkan.
“Sejak kebelakangan ini, jadual saya padat dengan penggambaran sehingga pulang lewat malam setiap hari. Ini menyebabkan saya terlepas pandang mengenai pencalonan dalam ABPBH 35.
“Soal menang atau kalah, saya serahkan sepenuhnya kepada peminat untuk menilainya.
“Saya tidak meletakkan apa-apa harapan kerana jika kita lihat banyak nama yang rancak dalam industri sekarang ini. Saya hanya tidak sabar untuk menghadiri ABPBH 35 untuk memeriahkan acara tanpa perlu memakai pelitup muka,” katanya kepada BH Online.
Walaupun teruja menghadiri ABPBH 35, namun kata Zul, dia perlu melihat jadualnya memandangkan bakal menunaikan fardu haji pada 10 Jun hadapan.
Berkongsi perasaannya bakal menunaikan haji, Zul mengakui, sangat teruja namun perlu mempersiapkan fizikal dan mental bagi menghadapi lautan manusia dan cuaca panas yang dijangka mencecah sehingga 45 darjah Celsius. – Agensi