Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Zulhairey Haji Madona dan Iskandar bin Abdullah berjaya mengharumkan nama negara setelah meraih kejayaan dalam kategori masing-masing dalam Perlumbaan Bot Kuasa Tinggi Kawalan Jauh Antarabangsa Melaka 2017 bersempena Festival Antarabangsa Sungai Melaka di Tasek Air Keroh Melaka, Malaysia baru-baru ini.
Zulhairey yang meraih tempat kedua bagi Catamaran Hull 26-28.9cc Import Engine, tempat ketiga bagi Mono Hull 43cc Below Local Engine dan tempat ketiga Catamaran Hull 29-31.9cc Import Engine.
Sementara itu, Iskandar pula meraih tempat kedua Catamaran Hull 40cc Above Local Engine dan dua lagi pelumba Brunei turut memberikan saingan sengit di peringkat akhir ialah Zakaria Hassan dan Haji Khallidden Haji Mohd Jamil.
Antara kategori yang dianjurkan di perlumbaan berkenaan adalah Kelas A-Catamaran Hull 40cc Above Local Engine, Kelas D-Mono Hull 43cc Below Local Engine, Kelas E- Mono/Vee Hull 26-28.9cc Import Engine dan Kelas F-Catamaran Hull 26-28.9cc Import Engine.

Empat lagi kelas lain adalah Kelas G-Mono/Vee Hull 29-31.9cc Import Engine, Kelas H-Catamaran Hull 29-31.9cc Import Engine, Kelas I- Hydro/Rigger Open Cc Import Engine dan Kelas J-Open Hull 32cc Above Import Engine.
Perlumbaan berkenaan berjaya menarik minat penyertaan antarabangsa antaranya dari Malaysia, Brunei Darussalam, Vietnam, Thailand, Singapura dan Indonesia.
Pertandingan seterusnya yang menjadi tumpuan pemain-pemain bot kuasa tinggi kawalan jauh adalah di Kampung Tanjung, Limbang, Sarawak, Malaysia pada 25 dan 26 November 2017, yang turut menampilkan barisan peserta dari negara-negara Asia Tenggara.