Susulan timbul pelbagai pertikaian berhubung rayuan agar kerajaan membantu golongan artis yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelakon Zulin Aziz tampil memberi saranan agar isu berkenaan dapat diselesaikan segera.
Menurut Zulin, dia menyeru rakan artis yang berkemampuan supaya menolong satu sama lain dengan mewujudkan tabung bantuan untuk diberikan kepada yang memerlukan dalam kalangan penggiat seni.
“Apa kata kita sama-sama artis yang mana mampu, buat satu tabung bantuan untuk bantu sesama kita dalam industri yang benar-benar hilang pendapatan.
“Tak kira artis itu sendiri atau mereka yang di belakang tabir. Siapa-siapa yang nak bantuan boleh rujuk pada sekian… sekian.. Ha macam itu,” kata Zulin di laman sosialnya.
Rata-rata warga net bersetuju dengan pendapat bekas penyampai radio Suria FM itu dan berharap semua pihak bersatu hati menangani penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat di Malaysia.
Sebelum ini, beberapa selebriti seperti Shuib, Black Hanifah serta Tomok menjadi mangsa kecaman warga net yang mempertikaikan tindakan mereka meminta kerajaan agar tidak melupakan golongan pekerja seni.
Selain warga net, pelakon kontroversi Zarina Anjoulie turut membantah rayuan agar bantuan khusus diperkenalkan kepada pekerja industri kreatif kerana inisiatif yang diperkenalkan untuk rakyat secara keseluruhan sudah memadai.
Menerusi laporan media pada Jumaat lalu, penyampai radio ERA FM iaitu Raden Amir Effendi dan Haniff bersama rakan mereka, Diyana Amir berbesar hati menggunakan sebahagian gaji bulan Mac untuk disumbangkan kepada orang yang memerlukan terutama pekerja seni. – Agensi
