Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 30 April – Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung (MPK) Telisai, baru-baru ini, telah mengadakan aktiviti gaya hidup sihat dengan mengadakan senaman zumba di kawasan halaman rumah Ketua Kampung Telisai, Haji Maidin bin Abdul Wahit @ Abdul Wahid.
Antara yang hadir menyertai aktiviti tersebut ialah isteri ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit iaitu Hajah Norsiah binti Haji Ahmad.
Aktiviti yang dikendalikan oleh Bahagian Sukan Biro Wanita MPK Telisai itu membawakan jurulatih khas dari Fitness Zumba, Zin Ateq.
Aktiviti dengan tema ‘Gaya Hidup Sihat’ tersebut merupakan salah satu aktiviti yang dijalankan oleh Biro Wanita MPK Telisai tahun ini untuk menggalakkan ahlinya mengamalkan gaya hidup sihat di samping mengeratkan hubungan silaturahim bersama ahli dan penduduk kampung.
