Selepas 38 tahun berkecimpung dalam industri seni hiburan, penyanyi Zur Eda teruja apabila menerima anugerah pertama di acara Femfoward 2025 bagi kategori ‘Legendary Performer in Entertainment Industry Award’ hari ini.
Zur Eda atau Zur Eda Mokhtar, 60, berkata, sepanjang penglibatannya dalam dunia hiburan, dia tidak pernah mendapat sebarang pengiktirafan dan anugerah ini merupakan satu kejayaan sebagai anak seni.
Kata Zur Eda, dia tidak menyangka di hujung kariernya sebagai penyanyi akhirnya ada pihak dapat melihat bakat dan sumbangannya dalam bidang hiburan.
“Selama saya menjadi penyanyi dari tahun 1987 dengan album Pelitaku, sepanjang penglibatan dalam dunia seni ini memang tidak pernah mendapat apa-apa pengiktirafan anugerah.
“Ogos ini genap umur saya 60 tahun, jadi ini adalah anugerah pertama. Saya rasa sangat gembira kerana dihujung-hujung karier pihak penganjur dapat melihat dan menilai bakat saya,” katanya kepada mStar.
Zur Eda berkongsi perkara itu ketika ditemui di acara berprestij Femfoward 2025 yang diadakan di M World Hotel, Damansara hari ini.
Dalam pada itu, Zur Eda memberitahu pada mulanya dia seakan tidak percaya dipilih sebagai penerima anugerah sewaktu dihubungi kira-kira dua minggu lalu.
Ujar Zur Eda, selama ini dia tidak pernah terfikir untuk meraih apa-apa pengiktirafan namun menganggap anugerah ini sebagai satu rezeki buatnya.
“Bila saya dapat panggilan diberitahu menerima anugerah ini, saya rasa seperti tidak percaya.
“Saya bukan jenis buat sesuatu kerja untuk dapat pengiktirafan. Tidak. Saya hanya mahu mencari rezeki dan memastikan diri saya masih relevan dalam industri ini.
“Tapi apabila diberi pengiktirafan ini, saya sangat bersyukur dan berterima kasih. Mungkin ada adalah rezeki diberikan Allah,” ujarnya. Dalam perkembangan lain, anugerah Femforward 2025 disampaikan bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia dan Hari Ibu.
Anugerah disampaikan kepada wanita daripada pelbagai bidang menjadi simbol penghargaan terhadap ketokohan, dedikasi dan pencapaian mereka dalam sektor-sektor penting negara Malaysia. – Agensi
