AVONDALE, 24 APRIL – Jelajah PGA telah memeterai perjanjian lanjutan dengan Zurich Insurance sebagai penaja utama bagi satu-satunya acara berpasukan dua pemain sehingga tahun 2030.
Pengumuman itu dibuat kelmarin, sehari sebelum pusingan pertama Zurich Classic bermula hari ini. Tempoh lanjutan penajaan itu selaras dengan baki kontrak hak penyiaran televisyen Jelajah PGA.
Zurich telah menaja acara Jelajah PGA di kawasan New Orleans sejak tahun 2005, iaitu tahun pertama kejohanan itu diadakan di TPC Louisiana yang direka oleh Pete Dye, hanya beberapa bulan sebelum Taufan Katrina membanjiri sebahagian besar kawasan tersebut.
Sejumlah inisiatif kebajikan oleh Zurich selepas bencana itu memfokuskan kepada usaha pemulihan kawasan yang terjejas teruk.
Zurich Classic dahulunya merupakan acara individu sehingga tahun 2017, sebelum dijadikan satu-satunya acara berpasukan yang menawarkan mata Piala FedEx.

“Hubungan kami dengan bandar yang berdaya tahan ini amat mendalam dan Zurich Classic New Orleans telah menyokong semangat itu sepanjang dua dekad lalu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Amerika Utara, Kristof Terryn.
“Sebagai satu-satunya acara berpasukan dalam Jelajah PGA, Zurich Classic membolehkan para pemain bertanding bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.”
Juara bertahan, Rory McIlroy dari Ireland Utara dan Shane Lowry dari Ireland, merupakan rakan karib. Zurich Classic menjadi penampilan pertama McIlroy sejak memenangi Masters pada 13 April lalu untuk melengkapkan gelaran Grand Slam kerjayanya.
Senarai pemain tahun ini turut menampilkan juara Terbuka Amerika Syarikat, Matt Fitzpatrick dari England yang akan bergandingan bersama abangnya, Alex.
Setiap pemain dalam pasukan pemenang akan meraih 400 mata Piala FedEx dan hadiah wang tunai sebanyak AS$1.66 juta.
Menurut penganjur, kejohanan tersebut telah berjaya mengumpulkan lebih AS$30 juta bagi tujuan amal sejak Zurich menjadi penaja utama. – AP