Zverev sedia pertaruh gelaran Cologne

BERLIN, 25 OKT – Alexander Zverev (gambar bawah) berada di landasan tepat untuk memenangi kejuaraan kedua ATP di Cologne dalam masa seminggu selepas memastikan kemenangan keseluruhan set ke atas pemain remaja Itali, Jannik Sinner pada aksi separuh akhir semalam.

Zverev, 23, menebus kekalahan awal bulan ini dalam saingan 16 terakhir Terbuka Perancis berdepan Sinner, 19, dengan meraih kemenangan 7-6 (7/3), 6-3.

Kecederaan pinggul yang mengganggu prestasi Zverev, pemain ranking ketujuh dunia, berdepan pemain Perancis, Adrian Mannarino pada aksi suku akhir Jumaat lalu bukan alasan buat pemain Jerman itu mengatasi Sinner dalam masa satu jam 48 minit.

“Saya menjalani imbasan pagi ini,” dedah Zverev, yang menantikan saat berdepan Sinner bagi menebus kekalahannya di Paris.

“Saya berdepan pemain yang pernah menewaskan saya di Roland Garros. Ia masih kekal dalam ingatan saya. Saya tidak akan tewas lagi hari ini.”

Zverev membuktikan kecergasannya dengan melengkapkan mata kemenangan menerusi kekuatan servis pukulannya.

Bagaimanapun, dia terkejut dengan aksi Sinner, yang dia jangkakan akan memperbaiki kedudukan daripada ranking ke-46 tidak lama lagi. – AFP