Thursday, May 8, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Zverev tekad bangkit selepas prestasi hambar

    ROM, 7 MEI – Juara bertahan Terbuka Rom, Alexander Zverev mengakui keletihan selepas tewas dalam final Terbuka Australia menjadi punca kemerosotan prestasinya awal musim ini, namun kini berasakan dirinya berada di landasan yang betul.

    Pemain Jerman berusia 28 tahun itu yang kini menduduki ranking kedua dunia, mengalami dua kekalahan pusingan pertama di Indian Wells dan Monte Carlo, sebelum kembali menemui rentak dengan menjuarai kejohanan ATP di Munich pada pertengahan April.

    Zverev, yang masih memburu gelaran Grand Slam pertama, berkata dia sepatutnya berehat selepas tewas kepada Jannik Sinner dalam perlawanan akhir Terbuka Australia hujung Januari lalu.

    “Jelas sebelum Munich, tahap permainan saya tidak bagus,” katanya dalam sidang media kelmarin.

    “Saya fikir tidak mengambil masa rehat selepas Australia merupakan kesilapan besar. Saya mengalami keletihan fizikal dan mental.”

    Alexander Zverev beraksi semasa perlawanan perseorangan ATP Tour Madrid Terbuka 2025 di Caja Magica di Madrid pada 29 April lalu. – AFP

    Jelasnya, kehidupan sebagai pemain tenis profesional menuntut komitmen berterusan tanpa ruang rehat secukupnya untuk fizikal dan mental.

    “Kami sentiasa bermain dan mengembara. Badan kami tidak diberi peluang untuk pulih, apatah lagi minda,” katanya lagi.

    Namun, dia yakin kini berada di landasan yang betul selepas menamatkan kemarau kejuaraan di Munich dan berhasrat mempertahankan kejuaraan Rom sebagai persiapan menuju Terbuka Perancis, tempat beliau mara ke final tahun lalu.

    “Saya tidak boleh lupakan kemenangan itu. Saya perlu fokus kepada perkara positif,” katanya.

    Zverev turut menegaskan dia masih percaya akan mencapai impian menjadi pemain nombor satu dunia, walaupun dikritik susulan prestasi hambar dua bulan lalu.

    “Saya dianggap pemain nombor dua paling teruk. Tapi saya berada di situ kerana saya menang kejohanan dan berjaya capai keputusan yang konsisten.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda