MADRID, 30 APRIL – Pemain nombor dua dunia, Alexander Zverev, tersingkir di pusingan 16 terakhir Terbuka Madrid selepas tewas kepada pemain Argentina, Francisco Cerundolo, manakala juara bertahan kategori wanita, Iga Swiatek, terpaksa bekerja keras sebelum layak ke suku akhir.
Cerundolo, yang kini berada di kedudukan ke-21 dunia, menewaskan pemain Jerman itu 7-5, 6-3 — kemenangan ulangan selepas mengalahkannya juga tahun lalu. Zverev sebelum ini pernah dua kali menjulang kejuaraan di Madrid.
Dalam kategori wanita, Swiatek mara ke suku akhir WTA 1000 kelima musim ini selepas menang sukar 6-0, 6-7 (3/7), 6-4 ke atas pilihan ke-13, Diana Shnaider.
Cerundolo akan bertemu Jakub Mensik di suku akhir selepas pemain muda Republik Czech itu mudah menewaskan Alexander Bublik dari Kazakhstan 6-3, 6-2.
“Saya tidak bermain dengan teruk, dia (Cerundolo) hanya bermain lebih baik daripada saya,” kata Zverev selepas perlawanan.
Zverev kehilangan set pertama selepas memberi dua peluang mata set kepada lawan, yang berjaya dimanfaatkan oleh Cerundolo pada cubaan kedua. Di set kedua, Zverev kerap melakukan pukulan melampau dan dipecahkan servisnya seawal permainan, membolehkan Cerundolo mendahului 4-1. – AFP
