Wednesday, April 16, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Zverev tewaskan Muller di Munich

    MUNICH, 15 APRIL – Pemain nombor tiga dunia, Alexander Zverev, kembali berada di landasan yang tepat dalam musim gelanggang tanah liat selepas menewaskan pemain Perancis, Alexandre Muller, 6-4, 6-1 dalam pusingan pertama kejohanan ATP di Munich kelmarin.

    Pemain Jerman itu tewas dalam perlawanan pembukaannya di Monte Carlo Masters minggu lalu kepada pemain Itali, Matteo Berrettini, sekali gus terlepas peluang untuk merampas kedudukan nombor satu dunia daripada Jannik Sinner.

    Sebaliknya, kekalahan itu serta kemenangan Carlos Alcaraz dalam perlawanan akhir pada Ahad menyaksikan Zverev jatuh satu anak tangga dalam kedudukan dunia dan menjejaskan persiapannya menjelang Terbuka Perancis bulan hadapan.

    Zverev kelmarin mematahkan servis lawannya seawal permainan pertama. Muller berjaya membalas pada kedudukan 3-3, namun Zverev bangkit semula untuk memenangi set tersebut dalam masa 47 minit.

    Pemain pilihan utama kejohanan itu menemui rentaknya pada set kedua dengan tiga kali mematahkan servis lawan.

    Aksi Alexander Zverev memulangkan bola kepada Alexandre Muller semasa perlawanan perseorangan lelaki kejohanan tenis Terbuka Munich ATP di Munich, selatan Jerman pada 14 April. – AFP

    Pemain berusia 27 tahun itu melengkapkan kemenangan dalam masa satu jam 20 minit.

    Zverev telah menyertai enam kejohanan sejak tewas dalam tiga set kepada Sinner di perlawanan akhir Terbuka Australia pada Januari, namun belum melepasi peringkat suku akhir dalam mana-mana kejohanan.

    “Saya sangat gembira dengan perlawanan ini,” kata Zverev kepada Sky Germany.

    “Saya mahu bermain tenis terbaik saya semula – dan ini merupakan langkah yang sangat baik ke arah itu.”

    Sejak memenangi gelaran berturut-turut di Munich pada 2017 dan 2018, Zverev belum pernah melepasi peringkat suku akhir.

    Dia akan menentang sama ada rakan senegara Daniel Altmaier atau pemain Taiwan, Tseng Chun-hsin, di suku akhir. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda