Monday, May 12, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Zy raih emas namun belum puas

    PHNOM PENH, 7 JUN – Perenang muda Malaysia, Lee Kher Zy belum berpuas hati dengan prestasi semasanya walaupun berjaya memenangi pingat emas menerusi acara 200 meter rampaian individu lelaki (SM5 – kecacatan fizikal), pada aksi final yang berlangsung di Pusat Akuatik, Stadium Morodok Techo.

    Atlet berusia 16 tahun itu atau lebih dikenali sebagai ‘Zy’ itu, menyasarkan untuk sekurang-kurangnya mampu menamatkan perlumbaan dengan catatan 3 minit 28 saat seperti yang dibuat pada kejohanan Itali bulan lalu, namun catatan masa 3:32.57s  hari ini sudah cukup untuk membolehkan beliau membawa pulang pingat emas.

    “Saya tahu boleh buat lebih baik daripada catatan hari ini, jadi saya mahu secepat mungkin kembali berlatih selepas tamat APG.

    Sasaran saya sudah pasti mahu bekerja keras dan sentiasa membuat Malaysia bangga.

    “Saya pernah rekod 3:28s tetapi hari ini sekadar 3:32s jadi memang jauh dari catatan peribadi terbaik saya, mungkin salah satu kuak saya agak salah, tetapi saya akan cuba lagi pada kejohanan akan datang,” katanya yang mempertahankan pingat sama pada edisi lalu di Solo, Indonesia.

    Beliau bagaimanapun seharusnya boleh mendabik dada kerana berjaya memadam rekod kejohanan 3:35.06s yang dibuat perenang Vietnam, Vo Thanh Tung pada APG 2015. Thanh Tung yang mencatatkan 3:36.17s hari ini meraih gangsa. – Bernama

    Zy merangkul pingat emas menerusi acara 200 meter rampaian individu lelaki (SM5) pada APG 2023 di Pusat Akuatik, Stadium Morodok Techo kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda