Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    1.4 tan sampah dikutip di Pantai Danau

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya dengan kerjasama Majlis Perundingan Mukim (MPM) Telisai dan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Danau, Daerah Tutong telah mengadakan Program Memucang-mucang Kitani yang berlangsung di Pantai Danau, Kampung Danau, Daerah Tutong, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyertai program ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap dan pemangku timbalan setiausaha tetap di KHEDN, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya berserta keluarga, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di Daerah Tutong serta penduduk Kampung Danau dan kawasan berdekatan termasuk ahli-ahli MPM Telisai dan MPK Danau.

    Pengisian program termasuk penanaman pokok dan aktiviti senamrobik yang difasilitasi oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Penjara dan diikuti dengan aktiviti kempen kebersihan di sekitar persisiran Pantai Danau.

    Di penghujung program, sejumlah 1,405.5 kilogram sampah berjaya dikutip di sekitar Pantai Danau dengan keluasan kawasan pembersihan 1 kilometer, yang mana majoriti kutipan sampah iaitu 731 kilogram terdiri daripada kategori botol plastik.

    Program itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan meningkatkan perpaduan antara pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama penduduk kampung dan agensi-agensi yang terlibat dalam sama-sama mendukung inisiatif kerajaan dalam pelaksanaan Inisiatif Protokol Hijau.

    Program Memucang-Mucang Kitani akan dilaksanakan secara berterusan oleh pihak KHEDN dengan kerjasama jabatan-jabatan di bawahnya dan agensi-agensi yang berkenaan, yang mana antara lain pengisian program yang akan diadakan termasuk aktiviti pembersihan kawasan kubur, membantu membaik pulih rumah-rumah dan memberikan sumbangan kepada golongan yang berkeperluan bagi meringankan beban mereka.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin menyertai aktiviti menanam pokok semasa Program Memucang-mucang Kitani yang berlangsung di Pantai Danau, Kampung Danau, Daerah Tutong, kelmarin. – GAMBAR SERAHAN KHEDN
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...