Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Karnival meriahkan Hari Kanak-kanak Sedunia

    Oleh Sim Y. H.-

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Suasana penuh keriangan dan kegembiraan menyelubungi sekitar kawasan taman dengan kehadiran kanak-kanak bersama ibu bapa dan keluarga masing-masing untuk sama-sama memeriahkan karnival bagi menyambut Hari Kanak-kanak Sedunia 2023 peringkat negara yang berlangsung di Jerudong Park Garden, hari ini.

    Karnival anjuran bersama Persatuan Pediatrik Brunei (BPS), Ja-batan Pediatrik, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) itu telah dihadiri oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Dihadiri oleh kira-kira 1,000 orang kanak-kanak bersama ibu bapa dan penjaga mereka, acara dimulakan dengan sesi senamrobik dan diikuti dengan acara fun walk mengelilingi taman berkenaan dengan acara dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham.

    Sesuai dengan tema Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia 2023, Penyertaan, untuk Setiap Kanak-kanak, kanak-kanak berkeperluan khas dan berkelainan upaya dari Pusat Perkembangan Kanak-kanak dan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) turut menghadiri serta sama-sama mengambil bahagian dalam acara karnival itu.

    Pelbagai aktiviti telah disediakan dalam karnival berkenaan termasuk larian berhalangan, permainan belon, bouncer serta acara boling. Acara juga diserikan dengan penyertaan beberapa pengusaha dalam sama-sama memeriahkan karnival berkenaan.

    Sejak 14 Disember 1954, Hari Kanak-kanak Sedunia telah disambut oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 20 November setiap tahun dengan matlamat menggalakkan kerjasama di tahap antarabangsa dalam melindungi hak kanak-kanak serta mengutamakan kebajikan kanak-kanak di seluruh dunia.

    ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menyertai sesi senamrobik. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    ATAS & BAWAH: Kanak-kanak menyertai aktiviti yang diadakan semasa karnival berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...