Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar serahan RTB
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 APRIL – Meskipun kini bulan Ramadan berada di penghujungnya, namun kehangatan suasananya masih terus dirasakan, lebih-lebih lagi apabila diwarnai dengan suasana kemesraan berbuka di seluruh negara.
Sehubungan itu, seramai 10 orang anak yatim dari Kampung Sungai Hanching dan Kampung Sungai Tilong telah diceriakan dengan Majlis Berbuka Puasa di McDonald, Gadong anjuran Radio Televisyen Brunei (RTB) dan Makan Ceria Sdn Bhd (McDonald’s Brunei), hari ini.
Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil dan Doa Arwah oleh Awang Abdul Azim bin Roslan, diikuti dengan bacaan surah Al-Baqarah oleh salah seorang anak yatim, Awang Muhammad Hadi Zakwan bin Mohamad Irwan.
Majlis seterusnya diikuti dengan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah RTB, Haji Azman bin Haji Abdul Rahim, dan Pemangku Pengurus Am Makan Ceria Sdn Bhd (McDonald’s Brunei), Haji Mohd Munir Syafiq bin Dato Paduka Haji Metassan.
Majlis yang dianjurkan ini merupakan salah satu aktiviti di bawah projek Jalinan Kasih dan telah diungkayahkan sejak tahun 2009 lagi yang mana melalui projek tersebut telah mendekatkan golongan tertentu. yang memerlukan bantuan di keempat-empat daerah.