Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JBP
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Seramai 10 orang kakitangan Brunei Cement, Butra Heidelberg Cement Sdn Bhd telah mengikuti Kursus Marsyal Bomba yang berlangsung selama tiga hari pada 28 hingga 30 Jun lalu di Brunei Cement Muara.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, semasa kursus yang dikendalikan oleh Bahagian Perhubungan Awam Cawangan Operasi A, para peserta diberikan pendedahan kepada pentingnya keselamatan kebakaran secara teori dan praktikal mengenai punca-punca berlakunya kebakaran, mengetahui tindakan apabila menghadapi insiden kebakaran di tempat kerja dengan membuat pengosongan bangunan secara bersistematik.
Di samping itu, mereka mempelajari mengenai tatacara penggunaan alat-alat pemadam api dan selimut api dengan cara yang betul serta tatacara untuk menyelamatkan diri dari terperangkap dalam bangunan bila berlakunya kebakaran.
Para peserta juga mengadakan lawatan ke Balai Bomba Muara bagi mengetahui fungsi bomba serta mengenali perkakas-perkakas dan peralatan bomba.
Kenyataan juga menyatakan bahawa jabatan berkenaan juga menyediakan program-program keselamatan seperti Taklimat Mencegah Kebakaran, Life Saver 995 bagi mengetahui aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul bagi penggunaan alat pemadam api.
JBP turut mengingatkan bahawa jika berlaku kecemasan, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.
