Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JUN – Majlis-majlis ibadah korban terus memeriahkan sambutan Hari Raya Aidiladha yang memasuki hari kedua, hari ini.
Jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung (MPK) Belimbing juga tidak ketinggalan mengadakan Majlis Pengagihan Daging Korban dan Akikah Kampung Belimbing ke-18 di mana 10 ekor kerbau telah dikorbankan untuk diagihkan kepada golongan penerima yang terdiri daripada anak-anak yatim dan golongan asnaf di kampung berkenaan.
Majlis pengagihan diadakan di Gerai Muafakat Tasik Serubing dan disempurnakan oleh Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim selaku tetamu kehormat majlis.
Terdahulu pengagihan daging berkenaan, majlis diserikan dengan laungan Takbir Raya dan bacaan Surah Al-Fatihah.
Dengan adanya majlis berkenaan, ia dapat memperingati kisah yang penuh bersejarah mengenai pengorbanan Nabi Ibrahim AS bersama anaknya, Nabi Ismail AS selain memberi kemudahan dan peluang kepada penduduk kampung berkenaan untuk menyertai dan memperoleh manfaat daripada ibadah berkenaan.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Ketua Kampung Belimbing, Yang Berhormat Haji Daud bin Jihan serta penduduk kampung berkenaan.