Monday, April 7, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    10 kesalahan didapati di enam premis kedai jahit, sebuah kedai baiki barangan elektrik

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 APRIL – Sebanyak 10 kesalahan telah dikesan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (BPU), Jabatan Buruh semasa menjalankan Operasi Waspada 63/2025 di beberapa buah bangunan komersial di Daerah Tutong pada 26 Mac lalu.

    Menurut kenyataan Jabatan Buruh, operasi tersebut bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Akta Pekerjaan, penggal 278 dipatuhi oleh para majikan.

    BPU Jabatan Buruh telah menjalankan Operasi Waspada 63/2025 di beberapa bangunan komersial di Daerah Tutong pada 26 Mac. – Gambar-gambar serahan Jabatan Buruh

    Semasa operasi tersebut, pemeriksaan ke atas enam buah premis kedai jahit dan sebuah kedai membaiki barang-barang elektrik telah mendapati sebanyak 10 kesalahan di bawah Akta Pekerjaan, Penggal 278 yang dipercayai dilakukan oleh majikan.

    Antara kesalahan tersebut ialah dua kesalahan di bawah Bab 39 Majikan gagal membayar gaji penuh dan gagal membayar bayaran kerja lebih masa, Bab 63 Majikan gagal memberikan cuti rehat, dan Bab 64 Bekerja pada hari rehat, Bab 70 Majikan gagal memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan, Bab 71 Majikan gagal memberikan cuti tahunan berbayar kepada pekerja-pekerja, Bab 72 Gagal memberikan cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan, Bab 82 Majikan tidak menyediakan alat pertolongan cemas, Bab 86 Melanggar syarat-syarat Lesen Pekerja Asing, tempat kegiatan bukan di tempat yang telah diisytiharkan dan dibenarkan oleh Jabatan Buruh, dan Bab 116 Majikan gagal menyediakan pengangkutan / tiket pulang ke negara asalnya.

    Siasatan lanjut akan dijalankan bagi kesalahan melanggar Akta Pekerjaan, Penggal 278, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi tiap-tiap kesalahan. Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.

    Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Akta Pekerjaan, Penggal 278 seperti majikan hendaklah membayar gaji pekerja-pekerja secara penuh dan membayar bayaran kerja lebih masa, memberikan cuti rehat sehari dalam seminggu, memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan, memberikan cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan, menyediakan alat pertolongan cemas di premis-premis dan menyediakan tiket pulang ke negara asal pekerja.

    Untuk makluman lebih lanjut bolehlah berhubung Jabatan Buruh di talian 2381848 semasa waktu bekerja atau 7298989 di luar waktu bekerja.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda