Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    10 peserta Kursus Butchering terima sijil

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Seramai 10 orang telah berjaya menamatkan Kursus Butchering 3.0 selama tiga bulan dan diraikan dengan majlis penyampaian sijil kursus anjuran Pusat Pembangunan Belia (PPB) itu yang berlangsung di YDC Cafe, PPB, hari ini.
     
    Penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Penolong Pengarah PPB, Awang Haswandi bin Haji Osman selaku tetamu kehormat majlis.
     
    Dalam ucapannya, Awang Haswandi antara lain berkata, PPB kali ini telah melaksanakan sedikit inovasi dengan menambah beberapa elemen dalam modul pembelajaran seperti kaedah pemprosesan daging dengan membuat ujian memasak dan perapan.
     
    Dengan pelaksanaan itu, beliau berharap segala ilmu yang diberikan dan diajarkan sedikit sebanyak dapat menampung keperluan dan telah disampaikan dengan berkesan.
     
    Kursus yang berlangsung dari Oktober hingga Disember 2023 itu antara lain bertujuan untuk memberikan latihan kemahiran yang bersesuaian dan berkaitan dengan kemahiran penyembelihan merangkumi kemahiran melapah daging, penyediaan dan pemprosesan daging, ayam dan ikan.
     
    Tetamu kehormat ketika menyampaikan sijil Kursus Butchering 3.0 kepada salah seorang peserta. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Awang Haswandi ketika menyaksikan hasil daripada peserta kursus. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    “Selain itu, melalui kursus ini, pelatih turut dibekalkan dengan pengetahuan utama dalam hal ehwal penyembelihan binatang ternak termasuk hukum-hakam, adab dan tatatertib penyembelihan mengikut syarak,” jelasnya.
     
    Beliau turut mengongsikan, sejak penubuhan PPB pada 1996, pusat berkenaan telah menumpukan hala tujunya kepada pemberian latihan kepada belia dalam pelbagai bidang.
     
    Ini bertujuan untuk melihat lebih ramai belia berkemahiran, mampu berdikari dan sudah tentunya berpotensi menyumbang secara positif kepada pembangunan dan kemajuan negara yang selaras dengan wawasan Brunei 2035 yang memfokuskan bagi melahirkan insan yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.
     
    Di samping itu, ia juga bagi memastikan pusat berkenaan kekal relevan sebagai pusat kecemerlangan pembangunan latihan dan kemahiran di negara ini. 
     
    Beliau seterusnya menambah, fokus latihan kemahiran di pusat tersebut juga telah diperluaskan dengan melaksanakan beberapa program komuniti dan kursus pendek yang melibatkan kumpulan sasaran yang lebih inklusif ke arah meningkatkan kebolehpasaran, keusahawanan dan pendidikan lanjut ke peringkat yang lebih tinggi bagi golongan tersebut.
     
    Dengan inisiatif pembelajaran sepanjang hayat, belia dan komuniti juga digalakkan untuk merebut peluang semasa menjalankan kursus bukan sahaja yang ditawarkan oleh pusat itu tetapi juga daripada agensi lain di negara ini.
     
    “Pada 2023 juga, pusat itu telah memulakan penjenamaan semula program komuniti kepada Program Kemahiran Artisan dan Program Kursus Jangka Pendek bertujuan untuk meningkatkan lagi kualiti kursus komuniti yang ditawarkan dengan perlaksanaan dan kerjasama rakan-rakan strategik di negara ini,” jelasnya lagi.
     
    Pada majlis itu, tetamu kehormat bersama tetamu yang lain berpeluang menyaksikan tayangan video aktiviti yang disertai peserta sepanjang kursus.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...