Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Sepuluh nama telah dipilih dalam pusingan pertama kempen cabutan bertuah Road to Inspiration anjuran Grand Motors Sdn Bhd, pengedar tunggal kereta Kia di Brunei, semasa sesi cabutan yang diadakan di Bilik Pameran Kia Brunei hari ini.
Kesemua peserta berkenaan akan menyertai pusingan kedua iaitu cabutan utama yang akan berlangsung esok di tempat sama.
Hadir membuat cabutan pada pusingan pertama itu ialah Pengurus Pemasaran Kia, Precious Casao dan disaksikan oleh Pengarah Urusan Kia, Frankie Ho; Pengurus Eksekutif Kia, Haji Shaiful Rizal bin Pehin Dato Dr Haji Ahmad; Pengurus Jualan Kia, Jacqueline Koh dan perwakilan dari media cetak.
Para peserta yang terpilih akan dihubungi oleh pihak Kia dan nama-nama mereka juga diumumkan dalam Facebook dan Instagram Kia.
Pusingan kedua akan menyaksikan pemenang utama membawa pulang tiket penerbangan dan menyaksikan Pertandingan FIFA World Cup 2022 di Qatar, manakala pemenang kedua akan membawa pulang iPhone 13 Pro Max 128GB, tempat ketiga akan membawa pulang Samsung Galaxy S22 Ultra dan pemenang keempat hingga ke-10 akan membawa pulang hadiah sagu hati berupa baucar wang tunai $500.
Para peserta cabutan terdiri daripada mereka yang telah membeli mana-mana kenderaan Kia dari 1 sehingga 31 Ogos lalu.
