Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    100 hadiri Majlis Makan Malam TBC

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 FEB – Perdagangan dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan Hong Kong telah mencecah sebanyak AS$45 juta pada 2022 di mana ia merangkumi pertumbuhan purata tahunan lebih 15 peratus sejak 2018.

    Sementara itu, pertumbuhan tahun-ke-tahun pada tiga suku pertama 2023 telah mencapai kira-kira 50 peratus.

    Perangkaan perdagangan dua hala di antara Brunei dan Hong Kong itu dikongsi oleh Ketua Pengarah The Hong Kong Economic and Trade Office, Jakarta (HKETO Jakarta), Libera Cheng dalam ucapan alu-aluannya di Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina (TBC) yang berlangsung di The Empire Brunei, hari ini.

    Hadir pada majlis itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Perdagangan dan Industri), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Awang Mohammad Harris bin Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim; Duta Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo; Pengarah Serantau Asia Tenggara dan Asia Selatan Majlis Pembangunan Perdagangan Hong Kong, Ronald Ho serta pegawai-pegawai kanan dari dewan-dewan perniagaan utama di negara ini.

    Majlis itu turut dihadiri oleh lebih 100 tetamu terdiri daripada wakil kerajaan, perniagaan, akademik, kebudayaan serta media.

    Libera Cheng bergambar bersama para tetamu dan pegawai kanan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Persembahan menyerikan Majlis Makan Malam TBC. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Dalam ucapannya lagi, Libera Cheng menyatakan harapan Hong Kong untuk menyertai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi meningkatkan hubungan perdagangan dan ekonomi bersama ekonomi-ekonomi lain di rantau ini.

    Di samping itu, beliau turut menyatakan Hong Kong berada di kedudukan yang baik untuk membantu aspirasi Negara Brunei Darussalam bagi mempelbagaikan ekonomi.

    Hong Kong, jelasnya, mempunyai pasaran kewangan dan aliran modal serta sistem perundangan yang baik untuk menyediakan perlindungan bagi pelabur-pelabur.

    Beliau juga mengongsi perkembangan terkini dalam sektor logistik Hong Kong termasuk kemudahan kargo udara dan Strategi Pembangunan Pelabuhan dan Pelan Tindakan Maritim yang diisytiharkan pada Disember lalu.

    Acara itu diserikan dengan persembahan bagi mempromosikan budaya unik Hong Kong dan mengukuhkan hubungan di antara warga dengan Negara Brunei Darussalam.

    HKETO Jakarta akan terus mengadakan acara di negara-negara anggota ASEAN di bawah bidang kuasanya bagi meraikan Sambutan TBC dalam minggu-minggu yang mendatang.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...