Saturday, March 22, 2025
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    107 kluster pendidikan direkod

    KUALA LUMPUR, 26 JAN – Sebanyak 107 kluster COVID-19 dalam kategori pendidikan direkodkan mulai 1 hingga 25 Januari, melibatkan 4,633 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata peningkatan ketara itu dicatat selepas pembukaan sesi persekolahan 2022 berbanding sesi persekolahan pada 2021.

    Beliau berkata daripada 107 kluster itu, institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM) menyumbang bilangan paling tinggi iaitu 56 kluster (52.3%) diikuti pendidikan lain (24.3%), pendidikan tinggi (20.6%), dan institusi pendidikan swasta berdaftar KPM (2.8%).

    “Pada Minggu Epidemiologi (ME) pertama tahun 2022, hanya tiga kluster pendidikan direkodkan, namun kenaikan kluster dilihat pada permulaan sesi sekolah iaitu ME kedua apabila 15 kluster direkodkan dan peningkatan sebanyak 313 peratus pada ME ketiga.

    “Pada ME keempat, sehingga 25 Januari 2022, sebanyak 26 lagi kluster pendidikan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini. Dr Noor Hisham berkata daripada 4,633 keseluruhan kes kluster pendidikan, sebanyak 4,092 kes (88.3 peratus) telah lengkap menerima vaksin COVID-19 dan 112 kes (2.4 peratus) pula telah menerima dos penggalak.

    Katanya majoriti kes yang dilaporkan hanya bergejala ringan (kategori 1 dan 2) iaitu 99.7 peratus (4,621 kes), manakala hanya 0.2 peratus (12 kes) lagi daripada kategori 3 dan 4 dengan kesemua 12 kes itu kini berada dalam keadaan stabil dan dirawat di fasiliti kesihatan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda