KUCHING, 20 MAC – Sejumlah 12,000 kotak sumbangan berbentuk makanan sempena Program Sumbangsih Raya 2024 (SR24) akan diagihkan kepada 11 buah agensi penguat kuasa yang bertugas di Sarawak pada sambutan Aidilfitri.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata sumbangan itu adalah tanda keprihatinan serta penghargaan kerajaan negeri terhadap pengorbanan anggota keselamatan dan penguat kuasa yang bertugas.
“Sumbangsih Raya pada kali ini menyediakan lima jenis barangan makanan dan minuman iaitu serunding daging, kek buah, kacang botak serta kopi dan teh tiga dalam satu untuk dinikmati oleh petugas semasa hari raya nanti.
“Selain itu kita juga telah menyediakan kad ucapan hari raya sebagai tanda ingatan kerajaan Sarawak kepada semua anggota yang bertugas pada hari lebaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Raya 2024 di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Fatimah berkata, tahun ini merupakan kali ke-34 negeri itu mengadakan Program Sumbangsih Raya yang mula diperkenalkan pada 1990 oleh Biro Wanita yang kini dikenali sebagai Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak. – Bernama
