Wednesday, April 2, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    11 maut dalam serangan dron terhadap Taliban

    PESHAWAR, 30 MAC – Sekurang-kurangnya 11 orang maut kelmarin di utara Pakistan apabila tentera melancarkan siri serangan dron ke atas Taliban, satu kehilangan yang dipanggil oleh kerajaan negeri sebagai ‘amat menyedihkan’.

    Tiga serangan berlaku pada Jumaat di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, memberi sasaran kepada ‘tempat persembunyian Taliban Pakistan’ di kawasan sempadan Afghanistan, kata seorang pegawai polis kanan yang meminta namanya tidak didedahkan. Kekerasan telah terjadi di sana dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

    “Barulah pagi ini kami mengetahui bahawa dua wanita dan tiga kanak-kanak antara mangsa,” kata pegawai tersebut.

    “Sebagai tanda protes, penduduk tempatan meletakkan mayat mangsa di jalan,” katanya sambil menambah mereka merupakan ‘orang awam yang tidak bersalah’, yang terbunuh dalam serangan tersebut.

    Jurucakap kerajaan negeri, Muhammad Ali Saif, mengesahkan hari ini “operasi anti keganasan telah dijalankan di kawasan pergunungan Katlang, daerah Mardan, berdasarkan informasi yang sah mengenai kehadiran pengganas.”

    “Laporan menunjukkan bahawa lokasi tersebut digunakan sebagai tempat persembunyian dan titik transit untuk elemen pengganas,” katanya dalam satu kenyataan.

    Tambahnya lagi “Maklumat seterusnya mendedahkan bahawa beberapa orang awam yang tidak bersenjata berada di sekitar kawasan operasi. Kehilangan nyawa orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, adalah amat disesali.”

    Beliau berkata keselamatan orang awam kadangkala tergugat oleh ‘strategi pengganas yang bersembunyi di kalangan populasi awam’ dan ‘keperluan mendesak’ operasi kontra-keganasan. – AFP

    Gambar ini merupakan peta penunjuk untuk Pakistan dengan ibu negaranya, Islamabad, dan wilayah Kashmir, pada 25 December 2024. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda